TINGGAL dua minggu lagi Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 bakal berlangsung dengan giliran Kota Bharu (KB), Kelantan pula menjadi tuan rumahnya dari 20 hingga 24 Mac ini selepas Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sepanjang bulan lalu, kesemua negeri dan Wilayah Persekutuan di seluruh negara sudah menyelesaikan kejohanan peringkat MSSM masing-masing sejak 18 Februari hingga 3 Mac lalu.

Dari sinilah setiap kontinjen bakal menyaring barisan pemain terbaik mereka untuk bersaing pula bagi gelaran berpasukan dan antara regu bagi tiga kategori Bawah 12, 15 dan 18 tahun kebangsaan.

Kontinjen Perak bakal menjadi tumpuan di Kota Bharu kerana mereka juara bertahan keseluruhan atau berhak digelar ‘Putera Libas MSSM 2016’ di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Setiawangsa, Kuala Lumpur Mengumpul 51 mata sambil meraih tiga pingat emas berpasukan dan antara regu kategori Bawah 18 Tahun serta berpasukan Bawah 12 Tahun, sudah memadai membuktikan reputasi unggul Perak antara 14 kontinjen bertanding.

Antara aksi menarik perlawanan penentuan ketiga Bawah 15 dan akhir 18 (bawah) Kejohanan MSSWPKL di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 

Mereka menewaskan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam kedua-dua aksi akhir Bawah 18 selain Kedah (Bawah 12) malah trio juara antara regunya, Norhakimi Sairi, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi dan Muhaimin Othman pula dinobatkan Tekong, Apit Kanan dan Apit Kiri Terbaik B18.

Baru-baru ini, Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) menyaksikan Zon Sentul C diwakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda menjuarai kategori Bawah 18 Tahun selepas menewaskan Sentul A (SMK Datuk Ibrahim Yaakob) 2-1 (21-19, 14-21, 21-16).

Pemain terbaik kejohanan pula terdiri daripada Ikmal Daniel Zainal (tekong), Muhamad Ikhmal Ismail (apit kanan) dan Ku Rosmanizam Abdullah (apit kiri). 

Sementara Sekolah Sukan Negeri A, Titiwangsa pula muncul juara Bawah 15 dengan menumpaskan cabaran Pudu A (SMK Alam Damai) 2-0 (21-19, 21-18) dengan Muhamad Haziq Che Abdul Aziz, Muhamad Faiz Hasbullah dan Nur Ariff Jumat muncul Tekong, Apit Kanan dan Apit Kiri Terbaik kategori ini.

Aksi perlawanan penentuan ketiga dan akhir 18 (bawah) Kejohanan MSSWPKL di Cheras.

KEPUTUSAN MSS SELANGOR

B12: Kuala Selangor kalahkan Klang 2-0

B15: Klang kalahkan Gombak 2-1

B18: Klang kalahkan Hulu Langat 2-0

KEPUTUSAN MSS KEDAH

B12: Kuala Muda Yan A kalahkan Kuala Muda Yan B

B15: Kulim Bandar Baharu A kalahkan Kuala Muda Yan B

B18: Kuala Muda Yan A kalahkan Kulim Bandar Baharu A

KEDUDUKAN KESELURUHAN MSS KEDAH

1. Kuala Muda Yan (55 mata)

2. Kulim Bandar Baharu (38)

3. Kota Setar (27)

4. Baling Sik (12)

5. Kubang Pasu (9)

Juara B18, Zon Sentul C kian pasti menyumbangkan ramai pemain bagi kontinjen Kuala Lumpur pada Kejohanan MSSM.

Pegawai pengelola dan pasukan pemenang Kejohanan MSSWP 2017 dengan hadiah kemenangan.