KUALA LIPIS - Peratus kehadiran murid di sekolah murid Orang Asli merupakan masalah besar dan mencabar yang perlu ditangani secara berhemah dan kreatif.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut, Hulu Jelai Abd Manaf Mat berkata, pihak sekolah telah mengambil pendekatan menjadikan kegiatan sukan dan permainan sebagai satu cara untuk menggalakkan kehadiran murid ke sekolah.

Menurutnya, melalui usaha itu sekali gus mampu meningkatkan peratus kehadiran setiap bulan.

“Kesedaran pentingnya pendidikan dalam kalangan murid Orang Asli masih rendah. Bagi mereka tidak hadir ke sekolah bukanlah merupakan satu masalah besar.

“Mereka seronok menghabiskan masa bermain seharian tanpa hadir ke sekolah. Untuk menarik mereka ke sekolah, perlulah guru sentiasa mencari jalan dan berfikiran kreatif,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya penganjuran sukan dan permainan di sekolah secara aktif mampu menggalakkan mereka ke sekolah kerana mereka datang untuk bermain serta mendapatkan hadiah.

Murid perempuan SK Senderut bergiat aktif dalam sukan bola jaring.

Tambahnya, di sinilah peranan guru yang diibaratkan seperti ‘menyelam sambil minum air’ iaitu menyerapkan sedikit demi sedikit perlunya murid hadir ke sekolah.

Jelasnya, selepas bermain mereka akan dibawa belajar ke bilik darjah pula dan ini meningkatkan peratusan murid Orang Asli ke sekolah.

“Selain itu, melalui program secara berterusan juga dapat mencungkil bakat murid dalam permainan bola sepak, bola jaring, futsal, sepak takraw dan merentas desa.

“Pada tahun ini, murid sudah menunjukkan peningkatan dalam permainan sehingga mewakili negeri Pahang dalam acara merentas desa dan sepak takraw,” katanya.

Aktiviti sukan menggalakkan murid Orang Asli ke sekolah.
 Murid Orang Asli bergiat aktif dalam sukan merentas desa.
Melalui bersukan mampu menaikkan peratusan murid Orang Asli ke sekolah.
Murid Orang Asli menyertai sukan merentas desa.