KUALA TERENGGANU - Kejohanan Merentas Pantai, Sukantara dan Kejohanan Balapan dan Padang adalah tiga acara sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (SMKSS) yang menyaksikan saingan sengit empat buah Rumah Sukan, Rumah Mahkota, Indera, Paduka dan Laksamana.

Setelah mengharungi tiga siri kejohanan merentas pantai, sukantara dan kejohanan balapan dan padang, akhirnya Rumah Laksamana memunculkan kembali kejaguhannya setelah menjadi juara keseluruhan.

Dalam kejohanan merentas pantai, Rumah Laksamana menduduki tangga kedua selepas tertinggal di belakang juara Rumah Indera, namun dalam kejohanan sukantara, Laksamana tampil dengan aksi cemerlang menguynggulinya. Demikian juga dalam Kejohanan Balapan dan Padang yang dilangsung pada Khamis minggu lalu.

Ketua Guru Penasihatnya, Nur Iman Sulong berkata terdapat tiga faktor utama kejayaan para atletnya.

"Faktor pertama ialah tidak pernah berputus asa meskipunawalnya semasa kejohanan merentas pantai kami gagal menjuarainya. Kedua, ialah komitmen semua baik di pihak atlet mahupun para guru yang bertindak selaku jurulatih pasukan.

"Dan yang ketiga ialah semangat mahu mengembalikan era kegemilangan Rumah Laksamana yang mana kami merupakan rumah sukan yang tidak pernah gagal dalam acara sukan olahraga ini," ujarnya.

Cikgu Nur Iman Sulong (memegang trofi) semasa menerima hadiah daripada pengetua SMKSS, Samsuddin Ismail.

 

Pelajar menunjukkan semangat kesukan tahap tinggi meskipun terpaksa 'bertempur' di padang dan trek kejohanan.

 

Pengetua SMKSS, Samsuddin Ismail sedang menyampaikan replika kememenagan kepada salah seorang atlet yang berjaya.

 

Sementara itu, Pengarah Kejohanan Balapan dan Padang SMKSS, Tan Teck Siong berkata atlet sukan olahraga di sekolah itu tidak pernah ketandusan.

"Malahan katanya, usaha menerusi pelbagai kejohanan seperti kejohanan balapan dan padang semakin menampakkan impak yang berkesan untuk terus menggilap bakat-bakat baharu yang perlu diketengahkan untuk mewakili sekolah di peringkat daerah nanti.

"Ini suatu barita baik buat kontinjen SMKSS yang bakal bertanding di kejohanan balapan dan padang di peringkat MSSD K.Terengganu nanti dan saya amat optimis yang atlet kami bakal menggegar trek dan padang di kejohanan itu nanti," katanya.

Naib juara disandang oleh Rumah Mahkota , tempat ketiga pula dimiliki oleh Rumah Paduka, manakala Rumah Indera gagal mengekalkan kejayaan menguasai kejohanan merentas pantai dan berada di tangga tercorot.

Majlis Perasmian kejohanan Balapan dan Padang SMK Sultan Sulaiman itu dirasmikan Pegawai Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam, manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Pengetua SMKSS, Samsuddin Ismail di padang sekolah berkenaan.