Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B B-14 muncul juara Piala Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) B-14 tahun selepas menundukkan ‘abang’ mereka SSMP A 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi akhir kelmarin.

Penjaga gol, Muhammad Irwan Mohamad Latif muncul wira SSMP B apabila menyelamatkan dua sepakan penalti Haiqal Hakeemi Hairi dan Muhammad Danish Mohd Zahir sekali gus memastikan kemenangan dramatik skuad Armi Shariff itu.

Aksi di Stadium Mini Kejora Bandar Penawar sebelum itu menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan permainan masa penuh termasuk masa tambahan dengan keputusan seri 1-1.

Dua pasukan berpangkalan di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang itu mengetepikan seketika sentimen persaudaraan tampil menunjukkan aksi kompetitif berbalas serangan sejak sepak mula.

SSMP A yang dibimbing bekas pemain Negeri Sembilan dan kebangsaan, Effendi Malek membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan percuma Ziad El Basheer Norhisham yang gagal diselamatkan Muhammad Irwan.

Bersambung di babak kedua, SSMP B bangkit menyamakan kedudukan menerusi percubaan Syukur Fariz pada minit ke-54 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Debaran penentuan penalti menyaksikan SSMP B muncul pemenang setelah Badrol Erfan, Syahmir Norhisham, Farhan Rahim dan Fakrul Fareez Aidi menyempurnakan tendangan masing-masing sementara SSMP A membalas menerusi Nur Iman Haikal Herman, Azhad Harraz Arman dan Akif Afizi Ramzi.

Armi berkata, beliau tidak menyangka perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan penalti.

“Secara keseluruhan pasukan telah beraksi cukup sempurna terutama di bahagian pertahanan yang menunjukkan disiplin tinggi dan cukup tersusun. Mereka berjaya menyerap asakan bertali arus dan tekanan dari pasukan SSMP A dengan begitu baik," katanya.