KUALA TERENGGANU - Kejohanan Sepak Takraw Terbuka sempena Sambutan 20 tahun Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar  Penawar, Johor Bahru, menyaksikan pasukan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) bawah 15 tahun muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM600 serta medal
dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Olimpik, SSTMI, pada 10 November lalu.

Pasukan bimbingan bekas perejam  regu emas, skuad sepak takraw negara pada Sukan Sea 2005, Mohd Futra Abdul Ghani turut berjaya merangkul  tempat ketiga  dalam kejohanan tersebut sekali gus mencatatkan rekod terbaik serta sejarah  cemerlang di SSMT.

Pasukan SSMT A yang berentap  bagi kategori bawah 15 tahun diwakili Mohammad Amar Roslan selaku  ketua pasukan, Muhammad Azib Mohd Zu, Muhammad Aniq Syahmi Shahrizal, Muhamad Zukren Zaiqhan Zainuddin dan Muhamad Adif Nizam Mohd Syarif, menewaskan tuan rumah, SSTMI yang hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan naib johan.

Manakala, tempat ketiga menjadi  milik pasukan SSMT D diwakili Muhammad Zarith Danial Noor Khilidi Amin, Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi, Muhammad Firdaus Zahari, Akif Ismat Zairi dan Mohamad Amirul Amir Alwi.

Setiap pemain mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan.

 

Mohd Futra yang merupakan Jurulatih Sekolah Sukan Malaysia  Terengganu A (SSMT A), berkata,  beliau berpuas hati dengan prestasi terbaik yang ditunjukkan  pasukan kendaliannya itu.

"Saya memang berpuas hati dari  segi prestasi pemain bawah 15 tahun ini yang menampilkan kombinasi  yang baik, dapat menyerap tekanan pihak lawan serta menunjukkan semangat juang yang tinggi dan memberi keyakinan kepada saya," katanya.

Selain itu, dalam usia tiga tahun pengoperasian SSMT, Mohd Futra  berkata, kejayaan atlet-atlet sepak  takraw SSMT telah mula mendapat perhatian dalam kalangan peminat-peminat sukan sepak takraw tanah air.

Meskipun usia yang masih muda, mereka telah mampu menundukkan lawan yang jauh lebih  berusia dan berpengalaman daripada mereka.

Ternyata, sentuhan bekas perejam  regu emas, Mohd Futra semakin membuahkan hasil dengan melahirkan atlet pelapis yang bakal  mengharumkan nama negeri dan
negara pada masa akan datang.

Mohd Futra (tengah) merakam gambar kenangan bersama barisan pemain kendaliannya.

Barisan pemain SSMT B yang berjaya mencatat tempat ketiga dalam Kejohanan Sepak Takraw sempena Sambutan 20 tahun SSTMI.