Menampilkan pelbagai watak adiwira terkenal antara kelainan yang dibuat menerusi Kejohanan Olahraga kali ke-15, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2, Johor Bahru yang berlangsung semalam.

Watak seperti Batman, Deadpool, Green Lantern dan Captain America itu turut dijadikan maskot untuk setiap rumah sukan yang mengambil bahagian dalam temasya berkenaan.

Pengetuanya, Zalina Md Talip berkata, penggunaan maskot untuk setiap rumah sukan itu merupakan pertama kalinya dibuat bertujuan meningkatkan lagi daya kreativiti pelajar dan guru-guru.

“Sebenarnya ini adalah tahun pertama saya di sekolah ini, jadi perbezaannya saya kurang tahu sikit berbanding tahun-tahun lepas. Tetapi saya dimaklumkan tahun ini guru telah memilih tema bebas untuk digunakan setiap rumah sukan.

“Jadi saya terfikir tentang maskot dan adiwira adalah tema yang paling sesuai. Ia sebenarnya melambangkan semangat kejituan dan perjuangan, sesuai dengan matlamat kami hari ini yang mahu melihat setiap pelajar bertanding menunjukkan saingan yang sengit antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Kali ke-15 SMK Permas Jaya 2 yang telah disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini, semalam.

Zalina berkata, seramai 927 pelajar telah terlibat dalam kejohanan berkenaan yang mana menyaksikan penyertaan daripada acara olahraga, sukan atau perbarisan unit kokurikulum.

“Syukur, penglibatan pelajar untuk kejohanan kali ini adalah amat memberangsangkan. Mereka termasuk guru-guru menunjukkan semangat yang tinggi dalam memastikan acara ini berlangsung dengan sebaiknya.

“Daripada pihak pengurusan, perkara ini adalah sesuatu yang amat baik, sememangnya penglibatan pelajar dalam sukan amatlah dititikberatkan agar ia seiring dengan perkembangan akademik yang turut diterapkan,” katanya.