PELBAGAI cara perlu digembleng semua pihak dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis ragbi berkualiti yang mampu mengalas tugas mewakili negara satu hari nanti.

Menyedari tanggungjawab itu, Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) Piala Datuk Jawahar Ali dianjurkan bagi mengesan, mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu dalam sukan ragbi.

Penasihat kejohanan, Datuk Jawahar Ali berkata, beliau komited kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula hari itu bakal membantu pembangunan sukan tersebut khususnya di Kuala Lumpur.

“Melalui kejohanan ini juga, pasukan yang layak akan mewakili kontinjen Kuala Lumpur ke Piala Datuk Sulaiman Daud bagi kategori bawah 15 tahun yang akan diadakan pada November.

“Kejohanan ini akan diadakan sebanyak tiga kategori iaitu bawah 15 tahun, bawah 13 tahun dan bawah 11 tahun,” katanya.

Menurutnya, sebanyak sembilan pasukan akan bertanding bagi peringkat umur bawah 15 tahun, 10 pasukan bagi peringkat umur bawah 13 tahun dan sebanyak 16 pasukan akan bertanding bagi peringkat umur bawah 11 tahun bertempat di padang Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras.

“Johan kategori ‘cup’ bagi setiap kategori umur yang dipertandingkan akan membawa pulang wang sebanyak RM500, sebuah piala pusingan, sebuah piala iringan, medal berserta sijil.

“Manakala bagi naib johan kategori ‘cup’ setiap kategori umur yang dipertandingkan akan membawa pulang wang sebanyak RM300, medal berserta sijil,” katanya.