KOTA BHARU - Kuala Krai membuktikan kejaguhan dalam Sukan Sepak Takraw apabila menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan-sukan Kelantan bawah 15 dan 18 yang diadakan di Dewan Kolej Vokasional Bachok.

Dalam final bawah 18, Regu Kuala Krai A yang membariskan Muhammad Al Hafizu Ismail selaku tekong, Mohammad Farid Abdul Ghani (apit kanan) dan Razin Haikal Mohd Nor (apit kiri) mengalahkan regu pilihan Tanah Merah A, 2-1.

Dalam saingan yang berlarutan  hingga ‘tie break’, Tanah Merah A yang menyenaraikan Muhammad Amir Firdaus Mohd Yushamide selaku tekong, Muhammad Haris Najmi Muhd Zamri (apit kanan) dan Muhammad Aiman Arsyad Mahusin (apit kiri) bermula garang apabila memenangi set pertama 21-10.

Mohammad Farid (tiga kiri) menerima pingat daripada Ketua Unit Sukan MSS Kelantan, Muhamad Nuzulhan Muhammad Zain. Turut menerima pingat dua pemain simpanan Kuala Krai.

 

Namun, dalam set kedua, regu Kuala Krai A memperkemaskan kawalan gelanggang dan berjaya memenangi perlawanan dengan kiraan 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke pusingan ‘tie break’ 15 mata.

Dalam set penentuan, Kuala Krai A sentiasa memimpin mata dan berjaya menguasai permainan melalui servis kuda Muhamad Al Hafizu dan libasan kencang, Muhamad Farid untuk menang 15-11.

Tempat ketiga bersama dimenangi oleh regu Tanah Merah B dan Machang B.

Mohammad Farid (kanan) menunjukkan aksi libasan kencangnya ketika bertemu regu Tanah Merah pada Final Bawah 18 Tahun.

 

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Unit Sukan, Nazulhan. Hadir sama, Pengerusi Teknik MSS Kelantan, Roslin Hamzah.

Pengurus Kuala Krai A, Zaiddi Ismail menyifatkan kejayaan pemainnya membuktikan mereka masih kuasa utama sepak takraw di negeri ini.

Selain itu, komitmen berterusan daripada PPD Kuala Krai, jurulatih dan pemain sendiri memiliki semangat juang yang tinggi untuk bergelar juara.

"Kalah mudah set pertama, tapi pemain saya bangkit untuk terus berjuang dan menang set kedua.

" Dalam set penentuan, kami yakin akan menang apabila regu lawan telah goyah dan banyak lakukan kesilapan mudah " katanya kepada Sinar Harian.

Pengurus Tanah Merah A, Razali Abd Rahman pula menyifatkan kekalahan regunya akibat nasib yang tidak menyebelahi selain banyak lakukan kesilapan mudah.

"Tahniah kepada Kuala Krai dan pemain saya juga telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pingat emas.

"Nasib tidak berpihak kepada kami dan saya yakin kami akan kembali bangkit tahun depan, insya-Allah,” katanya.

Pasukan yang menang johan, naib Johan dan tempat ketiga Bawah 18 bergambar bersama pengelola kejohanan Sepak Takraw MSSK 2016.

 

Terdahulu, regu Kuala Krai A berjaya menguasai bawah 15 apabila mengalahkan regu Pasir Mas A 2-0 dalam masa 20 minit.

Regu Kuala Krai A menyenaraikan Mohamad Alif Hakimi Razali selaku tekong utama, Muhamad Eqbal Shamsuddin (apit kanan) dan Muhammad Salahuddin Ismail (apit kiri) mudah kuasai pentas final dengan menyingkirkan Pasir Mas A yang menurunkan tekong, Muhammad Syamin Fikri Mat Basri, Muhammad Iskandar Shah Mohd Yusof (apit kanan) dan Muhamad Zarif Zafri (apit kiri).

Dalam saingan separuh akhir, Kuala Krai A terpaksa bermandi peluh untuk menumbangkan regu Kota Bharu A 2-0 (21-19, 21-19) manakala Pasir Mas A menyingkirkan Machang B juga dengan 2-0.

Sementara itu, Roslin mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang telah menyertai kejohanan kali ini dan pihaknya sudahpun memilih tiga pemain yang akan menggalas cabaran Kelantan ke Kejohanan Majlis Sukan-sukan Malaysia (MSSM) yang akan diadakan di Kuala Lumpur Mac depan.