KUALA TERENGGANU – Pasukan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) Old Boys membuktikan penguasaan mereka dalam sukan ragbi masih berbisa setelah muncul juara Kejohanan Ragbi 7’s Bawah 20 Tahun Tertutup Terengganu yang berlangsung di Kompleks Sukan, Gong Badak dekat sini.

Pasukan SESMA Old Boys dinobatkan selaku juara selepas meraih kemenangan  17-12 ke atas pasukan Kolej Vokasional (KV) Wakaf Tembesu ‘A’ dalam  aksi final setelah mengetepikan cabaran Titans Old Boy, 21-0 dalam aksi separuh akhir.

Pada aksi pentas final itu, skuad kendalian Ashari Abdullah berjaya mendahului kedudukan 17-0 menerusi tiga try dan satu conversion.

Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat itu sedikit sebanyak membataskan rentak permainan kedua-dua pasukan dan Sesma Old Boys hampir dikejutkan dengan kebangkitan KV Wakaf Tembusu A apabila berjaya merapatkan jurang kedudukan 17-12.

Namun kedudukan itu belum cukup  memadai buat KV Wakaf  Tembusu A apabila SESMA Old Boys terus mempertahankan kemenangan mereka sehingga tamat perlawanan.

Juara bagi kategori plate pula menjadi milik KV Wakaf  Tembesu ‘B ‘ setelah menewaskan  Titans Old Boys dengan kiraan mata 12-7, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula terpaksa berpuas hati dengan menjuarai  kategori bowl selepas menundukkan  Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) 24-7.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu.

Kejohanan anjuran Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) yang disertai sembilan pasukan itu juga bagi memilih pemain terbaik untuk membentuk pasukan ragbi Terengganu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Ketua pasukan KV Wakaf Tembusu B menerima piala pusingan daripada Ibni Amin Busu setelah dinobatkan selaku juara plate Kejohanan Ragbi 7’s Bawah 20 Tahun Tertutup Terengganu.

Pasukan Kolej Vokasional (KV) Wakaf Tembesu ‘A’ sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara setelah gagal menyekat kemaraan SESMA Old Boys pada aksi pentas akhir.

 

Tidak mudah mengalah kunci kejayaan

Sementara itu, pengurus pasukan SESMA Old Boys,  Muhammad Ikmal Lutfi Hazami mengakui sudah menjangkakan saingan sengit bakal diberikan pasukan lawan khususnya ketika aksi pentas final dan menyifatkan semangat tidak pernah mengalah ditunjukkan pemain menjadi kunci kejayaan mereka.

Menurutnya,  walaupun turun tanpa latihan yang khusus menjelang perlawanan itu, namun sentuhan mereka ternyata masih berbisa dengan mencatat kemenangan bersih tanpa sebarang kekalahan  sehingga ke pentas akhir.

“Walaupun saya lihat pemain agar sukar untuk melakukan gerakan-gerakan menarik, tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan barisan pemain untuk meraih kemenangan.

“Jadi, kita berharap ada dalam kalangan mereka mampu menggalas tanggungjawab untuk membawa cabaran Terengganu pada temasya Sukma di Perak tahun depan,” katanya.

Aksi perlawanan suku akhir pertama antara KV Wakaf Tembusu B dan UMT yang menyaksikan KV Wakaf Tembusu B meraih kemenangan 19-5.

Sebahagian daripada aksi pentas final antara SESMA Old Boy dan KV Wakaf Tembusu A yang berlangsung di di Kompleks Sukan, Gong Badak.