SLIM RIVER - Sekolah Kebangsaan (SK) Balun mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di negara ini menganjurkan Kids Athletics sebagai acara kejohanan sukan tahunan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Guru besarnya, Siti Sapura Abu Bakar berkata, Kids Athletics dilihat sebagai platform dalam usaha melahirkan dan membentuk atlet muda selain memberi peluang kepada semua murid untuk merasai pengalaman menjadi sebahagian atlet Kids Athletics.

Menurut beliau, yang menarik mengenai kejohanan sukan kali ini adalah acara yang dilaksanakan lebih selamat memandangkan peralatan yang digunakan diperbuat daripada 'foam' dan tidak mencederakan murid.

“Satu lagi tarikan adalah warna terang pada peralatan menarik minat murid untuk mencuba sukan ini.

“Ia sekali gus mencapai matlamat penglibatan murid bagi 1 Murid 1 Sukan. Tidak timbul isu pelajar terpinggir kerana semua gembira dan teruja untuk mengambil bahagian serta mencuba,” katanya.

Salah seorang ibu yang turut mencuba dalam acara kategori terbuka.
Terdahulu, penyandang Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan kejohanan sukan Kids Athletics selain penglibatan komuniti setempat dilihat merapatkan hubungan baik antara sekolah dan masyarakat.

 

“Saya bangga melihat ibu bapa hadir memberikan sokongan kepada anak masing-masing dan menunjukkan komitmen mereka untuk memajukan sukan sekolah,” katanya.

Ka Chuan berkata, kerajaan juga sentiasa komited dalam membangunkan bandar Tanjung Malim dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perumahan bagi warga Tanjung Malim.

Tambahnya, pemilihan Tanjung Malim sebagai bandar belia jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu golongan belia dalam pelbagai aspek.

Ka Chuan (duduk, dua kanan) merakamkan kenangan bersama guru pelatih yang membantu kejohanan sukan Kids Athletics.
Patah tangan bukan penghalang murid ini melontar javelin.
Salah seorang pemenang menerima pingat daripada Ka Chuan.
Guru pelatih IPG Kampus Ipoh bersama pentadbir SK Balun selepas tamat program.