JERANTUT - Pasukan lompat tali Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut (SKBJ), tekad untuk melakar sejarah tahun ini.

Pasukan itu mahu memastikan gelaran juara di Pertandingan Sihat Milikku Peringkat Kebangsaan 2018 menjadi milik mereka.

Pasukan itu yang bertanding bagi kategori  sekolah rendah akan berentap bersama pasukanpasukan lain di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM), Gombak pada 24 hingga 27 Julai depan.

Jurulatih pasukan, Muhammad Farhat Uzair Baharuddin berkata, kejutan lebih besar mahu dilakukan oleh pasukannya selepas muncul juara peringkat negeri pada 26 Jun lalu.

“Ini adalah penyertaan pertama kami dan sudah pasti kami mahu melakar sejarah untuk mengharumkan nama sekolah dan negeri di peringkat kebangsaan nanti.

“Tujuh orang murid yang terpilih sudah tidak sabar mempamerkan kehebatan mereka bermain lompat tali untuk bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, pasukan itu menjalani latihan hampir dua jam sehari pada waktu petang agar murid yang terlibat dapat mengikuti sesi pembelajaran pada waktu pagi.

“Saya dan pembantu jurulatih, Shafizal Abdul  Wahab telah melakukan beberapa penambahbaikan agar lebih banyak pergerakan kreatif yang dapat  dilakukan berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Tambahnya, beliau dan Shafizal juga menonton beberapa video dalam  YouTube untuk diadun dengan kreativiti mereka sebelum diajar kepada murid.

“Semua peserta perlu ingat setiap pergerakan selari dengan iringan muzik dan  tidak melakukan kesilapan mudah yang akan menyebabkan markah dipotong oleh pihak juri,” ujarnya.

Tambahnya, peserta juga  diberi penekanan dalam aspek semangat kerjasama serta ketahanan fizikal dan mental agar mereka tidak terkesan dengan persembahan dari negeri lain sehingga boleh mengganggu konsentrasi.

Kontinjen SKBJ turut akan diiringi oleh pasukan  lompat tali dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana yang akan bersaing kategori
sekolah menengah manakala SK Temin membuat perhitungan dalam acara senam sihat sekolah rendah.