Berjaya harumkan nama sekolah apabila muncul johan pada Kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Marang 2017

MARANG - Pasukan bola baling lelaki bawah 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong muncul johan pada Kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Marang 2017 dan akan mewakili sekolah daerah ini ke peringkat negeri.

Jurulatihnya, Syaifunizam Abdul Rashid berkata, pasukan turut dikenali sebagai Sebuyong itu berjaya mengharumkan nama sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Marang namun kejayaan sebenar dicapai adalah hasil kerjasama semua pihak.

“Sokongan pentadbir sekolah, semua warga guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta semangat juang murid-murid yang begitu tinggi membolehkan mereka mengharumkan nama sekolah pada pertandingan, baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, pasukan bola baling SK Bukit Payong itu dibentuk pada awal tahun lalu untuk menyertai Kejohanan Bola Baling Bawah 11 tahun Peringkat Daerah 2016 dan mendapat tempat ketiga sebelum berjaya menjadi johan tahun ini.

“Dengan kegigihan pengurusan pasukan bersama ahli jawatankuasa Kelab Bola Baling Sebuyong, pasukan ini berjaya bangkit dan menjadi juara pada Kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Bawah 12 tahun tahun ini,” katanya.

Pasukan itu katanya, mengalahkan SK Paya Resak 4-1 dan Sk Simpang Rawai 1-1 pada peringkat kumpulan manakala SK Wakaf Tapai 5-2 pada peringkat suku akhir dan mengalahkan SK Padang Mengkuang 4-2 di separuh akhir.

“Akhirnya penantian selama 20 tahun untuk menjadi johan berakhir apabila pasukan Sebuyong berjaya mengalahkan pasukan dari SK Merchang 5–1 dalam perlawanan akhir sekali gus menjadi pasukan terbaik kejohanan, ”katanya.