MUADZAM SHAH - Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan di sini mengorak langkah ‘berani’ apabila menubuhkan akademi bola sepak, Ridan Youth Football Academy( RYFA ).
Ketua Penyelaras RYFA, Muhammad Fahmi Mohamad Ramli berkata, penubuhan akademi itu memandangkan bola sepak sukan paling popular dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurutnya, akademi itu dikendalikan empat guru yang berpengalaman dalam sukan bola sepak.
”Sambutan daripada murid sekolah sangat memberangsangkan malahan pihak PIBG dan masyarakat setempat turut memberikan sokongan dalam menjayakannya.
“Sebagai langkah untuk memantapkan keberkesanan latihan bermodul yang diadakan saban minggu, RYFA menganjurkan kejohanan tertutup untuk menguji kemahiran dan mencungkil potensi bakat kalangan ahli akademi,” katanya.
Muhammad Fahmi berkata, dalam pertandingan tahun ini empat pasukan bertanding terdiri pasukan Liverpool, Barcelona, Juventus, Chelsea, Manchester United, PSG dan Arsenal.
“Pemilihan nama-nama pasukan tersohor tersebut bertujuan untuk menarik minat kalangan pemain dan ternyata mereka begitu teruja dengan menonjolkan aksi persembahan di atas padang dengan gaya yang cukup bersemangat.
‘Kami mahu mencungkil potensi bakat bola sepak dalam kalangan murid meskipun ia bukan suatu tugas mudah untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, berkat sokongan semua pihak khususnya pengurusan SK Bukit Ridan, PIBG dan masyarakat setempat, usaha itu akan membuahkan hasilnya nanti.
Pasukan Liverpool muncul juara kejohanan tertutup itu selepas menumbangkan pasukan Chelsea manakala Arsenal menduduki tempat ketiga.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Guru Besar, Suib Hamid dan Yang Dipertua PIBG, Prof. Madya Dr Bahktiar Ar Razi.