MARANG - Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sawa dinobatkan sebagai juara apabila berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 11 Tahun Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Daerah (MSSD) Marang – Piala Faizal Mohamad di sini, Rabu lalu.

Pada perlawanan akhir, sekolah itu mengecewakan SK Kelulut dengan jaringan 3-0, sekali gus membawa pulang hadiah medal emas dan sijil penyertaan manakala di tempat ketiga bersama ialah pasukan SK Marang dan SK Rhu Rendang.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Ramli Mohamad yang menyifatkan  penganjuran pertandingan tersebut dapat untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid sekolah rendah.

Pihaknya juga berterima kasih kepada semua pihak terlibat di atas sokongan yang telah diberikan bagi menjayakan kejohanan di peringkat akar umbi itu yang diadakan di padang SK Pengkalan Berangan melibatkan 22 pasukan bertanding.

Malah dalam kejohanan berlangsung, ramai bakat muda boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan adalah wajar menjadikan kejohanan berkenaan sebagai acara tahunan.

 

Sementara itu, Oktober tahun lalu, Warga SK Bukit Sawa juga sertai program bomba

Seramai 890 murid termasuk guru dan kakitangan sokongan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sawa menyertai ceramah kebakaran serta tatacara penggunaan alat pemadam api bersama Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, kelmarin.

Program itu bertujuan memberi pengetahuan asas khususnya kepada murid mengenai langkah keselamatan dan tindakan perlu diambil ketika berdepan kejadian kebakaran, termasuk cara menyelamatkan diri.

Sekiranya kebakaran berlaku, guru juga disaran peka mengenai langkah keselamatan perlu diambil, tidak panik atau bertindak sembarangan dan mengendalikan alat memadam api jenis serbuk dengan betul.

Turut hadir, Ketua Balai dan Penyelamat Wakaf Tapai, Penolong Penguasa Bomba Suriati Ariffin.