FELDA SUNGAI KOYAN - Pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang berjaya merangkul gelaran juara apabila mengalahkan pasukan SK Betau dalam Kejohanan Bola Sepak Zon Jelai 2017.

Dalam kejohanan yang berlangsung di padang SK Sungai Koyan itu membolehkan pasukan SK Senderut memperoleh tempat ketiga manakala SK Batu Yon di tempat ke empat.

Pengerusi Pertandingan Bola Sepak Zon Jelai, Syawaluddin Abu berkata, kejohanan itu diharap dapat mencungkil bakat muda khususnya dalam kalangan murid sekolah kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Selain dapat mengharumkan nama sekolah, aktiviti ini juga dapat menyihatkan tubuh badan serta menghindari diri daripada gejala sosial yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada kejohanan berkenaan di SK Sungai Koyan di sini, kelmarin.

Syawaluddin berkata, kejayaan diperoleh pasukan bola sepak sekolah rendah sekitar Zon Jelai menunjukkan begitu ramai bakat dalam kalangan murid luar bandar.

Menurutnya, penyertaan menggalakkan daripada sekolah murid Orang Asli seperti SK Betau dan SK Senderut menunjukkan murid daripada minoriti tersebut juga meminati sukan bola sepak serta boleh dianggap mempunyai standard tersendiri.

“Jika kita mengasah bakat baru ini secara bersungguh-sungguh tidak mustahil mereka akan menjadi bintang dan mampu bergelar pemain bola sepak profesional,” katanya.