KOTA BHARU – Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 2, di sini, dipilih menjadi pusat Projek Pembangunan Kecemerlangan Hoki oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu.

Sekolah tersebut bakal menjadi pusat latihan yang menghimpunkan pemain hoki pelapis bawah 12 tahun di sekitar daerah ini untuk menjalani latihan setiap hujung minggu, bermula tahun ini.

Majlis perasmian projek yang diilhamkan PPD Kota Bharu itu disempurnakan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Nubli Ab Latiff, Ahad lalu.  

Hadir sama, Penyelia Pendidikan Kanan (Sukan) PPD Kota Bharu, Nik Kamal Raja Hassan; Penyelia Pendidikan Pengurusan Kemanusiaan (Sukan), Juliyaiza Husin; guru besar, Muzli Mustapha dan Pengerusi Biro Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Dr Hairul Anuar Hashim.

Nubli menyempurnakan pukulan ke pintu gol sambil diperhatikan Juliyaiza (dua,kiri), Muzli (tiga,kiri) dan Nik Kamal (empat,kiri) sebagai simbolik perasmian.

Nubli turut menyampaikan sijil kecemerlangan kepada Farah Amarsha Mohd Fadzli (empat,kiri) dan rakannya, Wan Haifadurar Wan Hasnazir dalam pencapaian sukan tenis, pada tahun ini.

 

Sementara itu, Nik Kamal berkata, pihaknya meletakkan sasaran PPD Kota Bharu muncul selaku kuasa baharu sukan hoki negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kita mahu tahun 2019 lebih ramai pemain dari Kota Bharu mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Kita tak ketandusan pemain, malah baru-baru ini kita juara kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan MSSK (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan).

"Di peringkat MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia), pasukan bawah 12 tahun perempuan negeri menjadi juara. Jadi untuk mempertahankan pingat emas agak susah, kita kena ambil langkah aktif tubuh pusat latihan seperti ini," katanya.

Menurutnya, pemilihan SK Sultan Ismail 2 adalah tepat, sesuai dengan lokasinya yang terletak di kawasan bandar selain memiliki kemudahan padang astroturf.

Dalam pada itu, Muzli berterima kasih kepada PPD Kota Bharu kerana memberi kepercayaan kepada sekolahnya merintis program kecemerlangan hoki daerah itu.

"Dari segi fasiliti, kita rasa bertuah kerana mendapat sokongan PPD selain mempunyai jurulatih (Wan Mazlan Wan Yunus) yang telah membawa pasukan bawah 12 tahun perempuan muncul juara peringkat kebangsaan, pada tahun ini,” katanya.

Antara murid sekolah yang turut memeriahkan majlis perasmian itu.

Murid SK Sultan Ismail 2 jelas gembira dengan pemilihan sekolah mereka menjadi pusat latihan hoki daerah Kota Bharu.