SUNGAI PETANI - Pasukan SK Sungai Pasir C muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Bawah 11 Tahun Piala Ahli Parlimen Merbok 2018 selepas menewaskan  pasukan SK Pengkalan Pegoh A dari Ipoh dengan keputusan 2-0 pada perlawanan akhir, baru-baru ini.

Penyelaras Kejohanan, Wan Mohd Hairi Wan Chik berkata, sebanyak 21 regu dari seluruh Kedah dan tiga regu jemputan dari Perak menyertai kejohanan selama  dua hari di Dewan Berbumbung SK Taman Ria, dekat sini.

Menurutnya, pertandingan diadakan secara liga pada pusingan pertama dan  pusingan kalah singkir pada hari kedua.

"Kejohanan ini diadakan pada musim cuti persekolahan bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw di samping melestarikan sukan ini dalam kalangan  murid.

"Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina telah sudi menyumbang untuk kejohanan ini dan kami berhasrat menjadikan pertandingan ini sebagai agenda tahunan kerana  mendapat sambutan di luar dugaan," katanya.

Pada penentuan tempat ketiga pula menjadi milik pasukan SK Sungai Pasir A yang  menewaskan SK Tanjung Dawai A.