JERANTUT - SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang berjaya mengekalkan status juara bertahan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Jerantut Bawah 18 Tahun.

Kejayaan itu berjaya diraih apabila dapat mengalahkan SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Ahad lalu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan kehebatan masing-masing sehingga kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti setelah mereka terikat tanpa jaringan sepanjang tempoh permainan.

Penjaga gol sekolah berkenaan, Muhammad Haiqal Jamaluddin, 17, muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti terakhir pihak lawan untuk memastikan mereka muncul juara dengan jaringan 5-4.

Ketua Jurulatih, Fariduddin Othman berkata, beliau tidak menyangka mereka mampu mengekalkan kejuaraan kerana salah seorang pemain dikatakan gagal menyempurnakan sepakan ketiga dan ketika itu pasukan pelawat sudah bersorak kegembiraan.

“Kami bernasib baik apabila sepakan ketiga pihak lawan juga gagal disempurnakan apabila singgah di tiang gol dan saya rasa lega sehingga Muhammad Haiqal menepis keluar sepakan terakhir pihak lawan,” katanya.

Menurutnya, kemenangan tersebut juga menjadi pengubat duka apabila mereka sekadar naib johan kategori Bawah 15 Tahun apabila tewas kepada SMK PPPTR.

“Kami sangat gembira apabila dapat balas dendam setelah gagal dalam kategori Bawah 15 Tahun dan latihan yang dijalankan sejak Januari lalu ternyata berbaloi.