Selepas berjaya merangkul pelbagai kejuaraan sepanjang tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat muncul kuasa baharu pasukan hoki lelaki dan perempuan.

Meletakkan sukan hoki sebagai kebitaraan sekolah yang kini berusia 53 tahun itu, nyata pasukan hoki sekolah tidak mudah digoyahkan mana-mana pasukan.

Ini terbukti apabila SMK Dato Penggawa Barat muncul johan hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) tujuh kali berturut-turut sejak 2012.

Ketua Guru Penasihat Hoki, Azman Abdul [email protected] Nong berkata, pasukan hoki bawah 18 tahun lelaki dan perempuan menjadi juara pada kejohanan MSSD yang diadakan di SMK Sri Tanjung, Benut, April lalu.

Katanya, kejayaan menewaskan lapan pasukan bagi setiap kategori lelaki dan wanita itu bukannya mudah memandangkan setiap pasukan mempunyai kekuatan masing-masing.

“Usaha keras dan semangat juang tinggi pemain memberi pulangan cukup berbaloi apabila pasukan hoki sekolah dinobatkan sebagai juara sekali gus mengekalkan rekod juara bertahan bagi kategori lelaki yang dipegang sekolah sejak 2012,” katanya.

Jelasnya, pasukan hoki sekolah berazam dan bertekad memberikan cabaran dan prestasi terbaik di peringkat negeri kelak.

“Pasukan hoki sekolah banyak menimba pengalaman dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat dalam sukan hoki di peringkat negeri.

“Sebelum pertandingan hoki MSSD, pasukan hoki sekolah kami telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sekolah Menengah Tinggi Muar,” katanya.

Selain itu, pasukan hoki SMK Dato Penggawa Barat turut mengambil langkah berani dengan memasuki Liga Hoki Johor yang biasanya disertai pasukan hoki yang berpengalaman dan disegani.

“Tujuan memasuki Liga Hoki Johor hanyalah untuk menimba pengalaman. Tidak menafikan pasukan yang sertai liga itu bukan calang-calang.

“Antaranya Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Kota Tinggi, SMK Dato Bentara Luar Batu Pahat, Persatuan Hoki Daerah Kluang dan SMK Pasir Putih Pasir Gudang,” katanya.

Jelasnya, pasukan hoki sekolah berazam mahu memberikan yang terbaik dan tidak pernah mengalah meskipun tidak mendapat kemudahan padang hoki yang sepatutnya.

SMK Dato Penggawa Barat mungkin boleh menjadi rujukan terbaik kepada sekolah-sekolah lain betapa pelajar mereka bukan sahaja hebat di padang, tetapi juga dalam pencapaian akademik di negeri ini.