HULU TERENGGANU - Pasukan bola baling lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong merangkul juara kategori L18, Kejohanan Bola Baling Peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Terengganu 2017 berlangsung di padang bola SMK Menerong, di sini.

Bertemu SMK Bukit Diman di pentas akhir, pasukan tuan rumah berjaya menewaskan lawan dengan jaringan 7-2 sekali gus memperbaiki kedudukan edisi tahun lalu yang sekadar berada di tempat ketiga dalam kejohanan sama.

Kemenangan skuad bimbingan Zinatul Ashikin Deraman selaku pengurus pasukan SMK  Menerong membolehkan sang juara kejohanan berlangsung selama tiga hari itu membawa pulang
hadiah berupa medal (emas) dan sijil penyertaan.

Manakala, naib juara kejohanan, pasukan SMK Bukit Diman berpuas hati menerima medal (perak) serta sijil dan tempat ketiga bersama menyaksikan ia menjadi milik pasukan SMK Jenagur serta SMK Seri Berang.

Majlis perasmian penutup dan  penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan  Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Mohd Yusof Embong selepas kejohanan berakhir.

Serentak dengan itu juga, kejohanan bola baling kategori P18  turut berlangsung dengan menyaksikan pasukan SMK Jenagur muncul juara, naib juara milik SMK Bukit Diman manakala tempat ketiga bersama SMK Menerong serta Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu.

Kejohanan tahunan MSSDHT edisi tahun ini melibatkan sebanyak  12 pasukan bagi kategori L18 serta sembilan pasukan dalam kategori P18 dan kejohanan sama turut diadakan di  Sekolah Kebangsaan Tok Randok bagi kategori L12 dan P12.

Sementara itu, Pengetua SMK Menerong, Mohd Khairi Muda berkata, kerja keras barisan guru terlibat dan pelajar dengan menjalankan  latihan berterusan sejak awal lagi terbukti membuahkan hasil serta melakar kejayaan yang membanggakan sekolah.

“Edisi tahun lepas, pasukan bola baling SMK Menerong sekadar berada  di tempat ketiga baru kategori L18 dan naib juara dalam kategori P18. Syukur, tahun ini dalam kategori L18 kita bukan sekadar memperbaiki kedudukan tetapi juga muncul juara kejohanan.

“Walaupun pasukan perempuan tidak berjaya mengekalkan pencapaian tahun lepas namun berada di kedudukan tempat ketiga juga satu pencapaian cemerlang yang juga dapat mengharumkan nama sekolah. Tahniah kepada semua pemain serta barisan guru terlibat.

“Para pelajar atau pemain dari SMK Menerong yang bakal terpilih mewakili daerah Hulu Terengganu ke kejohanan peringkat negeri nanti diharapkan dapat berusaha dan bermain bersungguh-sungguh untuk capai kejayaan,” katanya.