SABAK BERNAM - Pasukan bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar muncul juara berganda bawah 15 dan 18 tahun pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2018, di sini.

Pengurus Pasukan, Muhammad Zahid Yusof berkata, dalam aksi di SMK Munshi Abdullah itu, sebanyak 15 pasukan bawah 15 tahun dan 14 pasukan bawah 18 tahun dari sekolah-sekolah menengah di daerah ini menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohd Nazahir Mohd Salim, menunjukkan aksi terbaik dan mengharungi kesemua perlawanan dengan cemerlang.

“Pada peringkat kumpulan, pasukan bawah 15 tahun berjaya peroleh dua kemenangan dan satu seri sebelum mengetepikan cabaran Sekolah Menengah Agama (Sam) Tengku Ampuan Jemaah pada peringkat suku akhir dengan 4 gol berbalas 1.

“Pada saingan suku akhir, pasukan SMK Sungai Besar bertemu SMK Munshi Abdullah sebelum menang penalti 4-3 setelah seri 1-1 dan berjaya menewaskan SMK Ungku Aziz dengan jaringan bergaya 2-0 sekali gus diumumkan sebagai johan Bawah 15 tahun,” katanya.

Pasukan bawah 18 tahun juga berjaya memenangi dua perlawanan dan satu seri pada peringkat kumpulan sebelum menang 4-1 ke atas Sam Bagan Terap pada perlawanan suku akhir.

“SMK Sungai Besar muncul johan bawah 18 tahun selepas menang bertemu Sam Sungai Haji Dorani dengan jaringan 2-0 pada separuh akhir dan menang 1-0 menentang Sam Muhammadiah pada perlawanan akhir,” katanya.

Katanya, kedua-dua pasukan akan mewakili daerah Sabak Bernam ke Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri (MSSN) Selangor di Kuala Selangor, Julai depan.