KUALA PILAH – Sejarah tercipta pada penutup tirai kejohanan liga hoki piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba menjuarai kedua-dua kategori lelaki dan perempuan bawah 15 tahun yang berlangsung di stadium hoki di sini.

Pasukan hoki lelaki berjaya mengalahkan SMK Tunku Besar Tampin, manakala pasukan perempuan menewaskan SMK Puteri Seremban.

Lebih manis, kejayaan itu turut menobatkan Muhammad Taufik Latif sebagai penjaga gol terbaik manakala pemain terbaik dimiliki Mukhmal Rahmat.

Turut berkongsi kegembiraan bagi kategori perempuan, Nur Rasyida Rosli yang diumumkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang kejohanan.

Jurulatih pasukan lelaki, Zahid Sufian Othman berkata, hasil usaha keras serta disiplin dalam kalangan pemain mendorong kepada kemenangan itu.

“Pemain sentiasa berjuang untuk mencapai kejayaan dan pastinya hadiah kejuaraan ini milik mereka,” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan perempuan, Aminuddin Omar berkata, ia antara pencapaian dan kejayaan manis yang dikongsi bersama pasukan perempuan.

Pasukan perempuan membawa pulang RM750 berserta piala dan medal setelah dinobatkan juara bawah perempuan 15 tahun.

“Syukur, pasukan perempuan sudah berada pada landasan yang tepat untuk mengorak langkah ke peringkat lebih baik.

“Sememangnya mencari kejayaan adalah lebih mudah daripada mempertahankan kejayaan.

“Pasti pada 2018 nanti akan menjadi cabaran buat pasukan perempuan mahupun pasukan lelaki, untuk terus konsisten walau di gelanggang mana sekalipun mereka berada,” katanya.

Muhammad Taufik dinobatkan penjaga gol terbaik.

Nur Rasyida dinobatkan penjaring terbanyak pada kejohanan tersebut.