ALOR SETAR - Skuad bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah Bawah 14 Tahun mempamerkan aksi memberangsangkan meraih tempat ketiga pada Kejohanan Bolasepak Luar Musim Bawah 14 Tahun Kota Setar 2018 baru-baru ini.
Pengurus pasukannya, Ahmad Assim Mat Salleh berkata, pasukan itu terpaksa akur terkandas separuh akhir setelah tewas tipis 1-0 kepada jiran mereka, SMK Mergong A selepas mendominasi kedudukan kumpulan.
Menurutnya, SMKA Kedah berjaya mengimbangi serta mendominasi perlawanan namun kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain belum cukup melayakkan mereka melangkah ke perlawanan akhir.
"Komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh pemain harus dipuji, kerana pasukan ini mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih elit dalam daerah Kota Setar," katanya kepada Sukan Sinar.
Sementara itu, jurulatih pasukan, Mohd Nasruddin Ismail pula berkata, jadual pembelajaran padat di sekolah menyebabkan persediaan dan sesi latihan pasukan terbatas tahun ini.
Bagaimanapun katanya, sasaran yang diletakkan oleh pihak sekolah telah berjaya dicapai apabila muncul empat pasukan terbaik.
“Kegagalan melangkah ke pentas akhir kali ini mampu menjadi kayu pengukur buat kami untuk memperbaiki kelemahan di setiap posisi yang ada agar dapat terus bersaing di peringkat yang lebih tinggi selepas ini," katanya.