PASIR PUTEH - Sekolah Menengah Ugama (Arab) (SMUA) Khairiah mencatat rekod paling cemerlang dalam sukan taekwondo tahun ini dan bertekad mengekalkan momentum tahun depan.

Kejayaan muncul naib juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwondo Sekolah Menengah Agama Se-Malaysia  (Smastaec) 2018 pada Mac lalu telah menjulang nama sekolah tersebut di negara ini.

Penasihat pasukan, Annas Oslan Annuar berkata, kejohanan membabitkan  402 peserta lelaki dan 382 peserta perempuan menyaksikan SMUA Khairiah menyaingi 45 sekolah agama seluruh Malaysia.

Menurutnya, venue Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor menjadi saksi sekolah  berkenaan meraih enam pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

"Kejayaan itu membuktikan sekolah ini mampu bersaing dengan sekolahsekolah cemerlang kokurikulum seluruh  negara.

"Saya berharap lebih ramai pelajar menyertai pasukan taekwondo sekolah  ini untuk menggalas tanggungjawab sekurang- kurangnya mengekalkan rekod sekarang," katanya.

Ketua pasukan, Muhammad Syahin Zulkifly, 19, muncul sebagai peserta terbaik selepas berjaya meraih enam pingat iaitu tiga pingat emas, dua perak dan pingat peserta terbaik lelaki bawah 19 tahun.

Walaupun gagal meraih pingat ketujuh akibat kecederaan bahu untuk acara  individu 'sparring', dia tetap bersyukur mampu beraksi dengan baik untuk acara lain.

Annas berkata, latihan selama dua bulan sebelum kejohanan cukup untuk  memantapkan pasukan sekolah itu.

Katanya, pemilihan peserta dilakukan dengan beberapa ujian saringan bagi memastikan hanya peserta hebat menyertai kejohanan peringkat kebangsaan itu.

"Komitmen tinggi semua membolehkan pasukan ini mantap dari segi fizikal  dan mental," katanya meraikan kejayaan itu bersama jurulatih, Mohamad Hafiz Razali dan guru pengiring, Siti Norhayati Hamzah dan Farhain Azreen Kamaruzaman.

Smastaec merupakan kejohanan peringkat kebangsaan anjuran Persatuan  Taekwondo ITF Putrajaya dan tahun ini merupakan edisi kelima.

SMUA Khairiah merupakan sekolah yang bernaung di bawah Persatuan Taekwondo (MGTF) Negeri Kelantan.