SUBANG JAYA - Pasukan Soccer Ace FC membuat persiapan rapi dengan melakukan sesi pemilihan pemain bagi menghadapi saingan Liga Connecting Communities 2019 (1MCC 2019).

Bertempat di padang USJ 23, sesi pemilihan pertama itu melibatkan pemain berusia 10 dan 11 tahun bagi membawa cabaran pasukan Soccer Ace FC U12.

Ketua jurulatih, Nor Kuzairy Abu Bakar berkata sesi pemilihan telah dilakukan secara tertutup di mana hanya pemain yang telah berdaftar mana-mana 12 cawangan Akademi Soccer Ace FC sahaja yang layak untuk mewakili kelab berkenaan.

"Semua pemain bakal ditapis sehingga ke peringkat 30 pemain terakhir yang mana akan dipilih untuk pendaftaran liga.

"Mereka yang terpilih ini kemudiannya akan menghadiri kem bola sepak selama tiga hari di Kolej Matrikulasi Selangor Banting bagi tujuan pemantapan teknik, skil, fizikal dan juga mental sebagai pemain," katanya.

Selain itu, Nor Kuzairy yang juga pengasas kelab menjelaskan Soccer Ace FC juga sering menyertai liga dan kejohanan bola sepak secara aktif di sekitar Lembah Klang bagi memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada pemain di peringkat awal.

"Pemain yang menyertai kelab akan diberi pendedahan terhadap teknik asas bola sepak dengan bimbingan panel jurulatih bertauliah yang mempunyai lesen kejurulatihan daripada FAM.

"Pendaftaran pemain untuk akademi ini terbuka kepada pemain yang berusia 6 hingga 15 tahun dan Soccer Ace FC mempunyai 12 cawangan pusat latihan di sekitar Lembah Klang,"
 katanya.

Kepada yang berminat mendaftar di Akademi Soccer Ace FC, boleh melayari laman sesawang http:// socceracefc.com#akademi untuk maklumat lanjut.