DUA lagi slot masih terbuka untuk pemain remaja lelaki negara beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 Ogos depan.

Setakat hari ini, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sudah mengumumkan empat nama yang bakal menggalas tugas berat di laman sendiri dalam sukan yang menghimpunkan atlet terbaik rantau Asia Tenggara ini.

Antara nama yang sudah disahkan termasuk Ng Eain Yow, Mohd Syafiq Kamal, Mohd Addeen Idrakie dan Sanjay Singh Chal.

Justeru, SRAM bakal menentukan dua lagi nama melalui proses pemilihan yang sedang berlangsung.

Pemain muda Darren Rahul Pragasam dan Ong Sai Hung disebut-sebut menjadi antara nama yang bakal mengisi dua slot terakhir ini.

Sai Hung (kiri) selain Darren antara pilihan untuk meraih tiket terakhir beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Perlawanan percubaan untuk pemilihan ke Sukan Sea minggu lalu menyaksikan Darren dan Sai Hung menang tiga daripada empat perlawanan dan ini dilihat akan mencerahkan peluang mereka berdasarkan merit.

Darren yang merupakan juara kebangsaan bawah 19 tahun yang juga pemain ke-380 dunia, dilihat lebih menyerlah dalam perlawanan pemilihan minggu lalu apabila menewaskan keempat-empat pencabar terdekatnya termasuk Sai Hung, Mohd Farez Izwan, Marcus Sim dan Ryan Pasqual.

Baginya, walaupun memenangi kesemua perlawanan percubaan ia bukanlah tiket untuk beliau berasa yakin terpilih mewakili negara.

Justeru, beliau mengharapkan aksinya di Sirkit Jelajah Skuasy Malaysia (SSJM) bermula hari ini akan berakhir dengan keputusan yang baik untuk mencerahkan lagi peluangnya.

"Prestasi saya sudah banyak meningkat tahun ini yang mana saya percaya kini saya lebih matang dan permainan saya sudah semakin konsisten.

"Walaupun saya tidak banyak beraksi dalam kejohanan profesional tetapi saya mengharapkan penyertaan saya dalam Sirkit Jelajah Skuasy Malaysia minggu ini akan memberikan keputusan yang positif," katanya.

Darren (depan) mempunyai peluang cerah beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 selepas beraksi cemerlang perlawanan pemilihan minggu lalu.

Kata Darren, dia berharap untuk sampai sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi mencerahkan peluang beraksi di Sukan Sea," katanya.

Ujarnya lagi, jika terpilih mewakili negara dalam sukan dwitahunan ini, ia akan menjadi satu penghormatan besar untuknya.

Beliau turut berjanji akan membuktikan sesuatu untuk negara jika terpilih dalam dua slot terakhir Sukan Sea ini.

"Dapat beraksi di Sukan Sea amat bermakna untuk kami yang menjadi skuad sandaran buat masa ini.

"Saya percaya semua daripada kami mengidamkan aksi di Sukan Sea untuk membawa nama negara," katanya.

Menurutnya, walau apapun peluang masih lagi terbuka dan diharap pemain terbaik akan terpilih untuk beraksi dan mengharumkan nama negara pada Ogos depan.

 Darren dan Sai Hung.