SEREMBAN - Bersandarkan matlamat untuk melahirkan murid yang cemerlang serta seiring dalam bidang akademik dan fizikal, Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban mengambil inisiatif menganjurkan Kejohanan Piala Al-Hadaf baru-baru ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu menampilkan lapan pasukan bola sepak dari beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Johor.

Paling menarik apabila kejohanan kali ini melibatkan penyertaan murid antarabangsa dari Eropah.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani yang berucap pada majlis perasmian berkata, usaha berani pihak penganjur menganjurkan kejohanan itu adalah sesuatu yang perlu dibanggakan sekali gus menghapuskan stigma bahawa sekolah agama meminggirkan aktiviti sukan.

"Umum sedia maklum Sri Seremban merupakan sekolah agama Islam. Justeru, ia sesuatu yang perlu dibanggakan kerana sekolah ini mampu membuktikan kepada masyarakat dengan menganjurkan kejohanan berprestij tinggi ini dengan baik.

"Oleh itu, tidak hairanlah sekolah ini mendapat pengiktirafan sebagai sekolah rendah swasta cemerlang pada 2017 di peringkat Negeri Sembilan," katanya.

Pasukan Inspire yang berjaya muncul johan bagi kategori Champion Cup.

Mohamad Taufek juga turut tertarik dengan kelainan diterapkan dalam kejohanan yang bertemakan etika pemakaian sopan dan menutup aurat seiring dengan imej sekolah Islam walaupun kejohanan dianjurkan melibatkan pelbagai bangsa dan agama.

Sementara itu, pengarah kejohanan, Mohamed Hakim Mohamed Noor berkata, pihaknya bersyukur kerana pertandingan berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama daripada semua pihak.

Menurutnya, kejohanan itu banyak memberi kesan positif kepada murid secara umumnya mengenai pentingnya aktiviti bersukan dalam kehidupan seseorang.

"Ia dapat membantu mengekalkan kesihatan dan beri kehidupan lebih baik.

"Selain itu juga, keseimbangan akademik dan sukan perlu seiring agar murid bukan sekadar bijak malah cergas tubuh badan," katanya.

Sementara itu, pasukan Inspire dari Negeri Sembilan muncul juara Kejohanan Piala Al-Hadaf apabila berjaya mengalahkan Super Friend United (Selangor) dalam kategori Champion Cup.

Bagi kategori Champion Plate, pasukan Raisuri dari Kuala Lumpur berjaya merangkul tempat pertama dan Rhino FC dari Pahang sebagai naib johan.

Lapan kelab bola sepak yang mengambil bahagian adalah Rhino FC dari Pahang, Raisuri Warriors (Kuala Lumpur), Inspire (Negeri Sembilan), KBJB (Selangor), BTRHawks (Kuala Lumpur), Super Friend United (Selangor), Titan HL (selangor) dan Al Hadaf (Negeri Sembilan).