Penyandang juara Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2017, Sekolah Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) terus membuktikan kewibawaan apabila berjaya membenam cabaran Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK) 38-10 di perlawanan akhir yang berlangsung di padang ragbi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Perak, baru-baru ini.

Kejuaraan kali ini juga adalah yang keempat buat pasukan dari Bandar Penawar itu dalam kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s setelah pernah menjulang trofi NJ Ryan sebelum ini pada 2011, 2012 dan 2016.

Kejohanan yang disertai 20 pasukan tempatan dan empat dari luar negara sememangnya dinantikan peminat sukan ragbi di Malaysia

Pemain dan pegawai SSTMI bersama Raja Muda Perak DYTM Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa (tengah) meraikan kemenangan mereka dalam Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2017.

TEPATI RAMALAN

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) antara lapan pasukan yang mengesahkan tempat ke suku akhir kategori Cup/ Plate Ragbi MCKK Premier 7s 2017 bagi merebut Trofi NJ Ryan musim ini.

Pasukan SSTMI yang juga merupakan juara bertahan bukan sahaja mara tetapi berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang mata bolos di peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, SSTMI menang mengatasi Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) untuk mara ke suku akhir. SSTMI memperoleh try pertama menerusi Suhairi Efendi Othman disusuli conversion oleh pemain sama untuk mereka mendahului 7-0.

Try kedua SSTMI sekali lagi hadir selang seminit kemudian untuk pasukan itu 12-0 di depan.

Belumpun sempat SAS mengatur gerakan, try ketiga SSTMI menyusul lagi melalui larian deras Amir Danial meletakkan pasukan itu selesa mendahului 17-0 menamatkan separuh masa
pertama perlawanan.

Bermula separuh masa kedua, Hafizie Sudin terus mengukuhkan kedudukan SSTMI apabila Berjaya menambah satu try dan satu conversion meletakkan pasukannya mendahului 24-0 sebelum Amir Ibrahim melengkapkan kemenangan mutlak SSTMI 29-0 mengatasi SAS.

PAMER KEKUATAN

MCKK yang juga antara pasukan pilihan turut mara ke suku akhir. Mereka muncul juara Kumpulan C selepas mengetepikan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) dengan keputusan 29-7 dan membelasah pendatang baru dari Indonesia, SMA Darunnajah (SMAD) 58-0.

Pasukan lain yang melayakkan diri ke suku akhir Cup/ Plate adalah naib juara tahun lalu, Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK), SMK Sri Mersing (SMSM), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), SMK King Edward VII (KEVII), SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), dan English College (EC).

Aksi pemain SSHK (kanan) yang cuba mengekang pergerakan pemain SSTMI.
 

AKSI MENARIK

Pasukan Sekolah Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) terus membuktikan kewibawaan mereka dalam Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2017 apabila membenam cabaran Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK) 38-10 di perlawanan akhir.

SSTMI bermula garang menerusi larian kencang Mohd Shah Fikri Osman yang menyempurnakan try pertama pasukan disusuli coversion oleh Hafi zie Sudin untuk pasukan di depan 7-0.

Namun SSHK tidak mudah mengalah apabila pantas bangkit menghasilkan try pertama mereka bagi merapatkan kedudukan kepada 5-7. Selepas itu, giliran SSHK sekali lagi mendapat try kedua untuk mereka pula di depan dengan keputusan 10-7 mendahului SSTMI.

Perlawanan semakin rancak selepas itu dengan SSTMI kembali mendahului SSHK menerusi try Muhd Helmi dengan keputusan 12-10 mengakhiri separuh masa pertama permainan.

Pemain dan pegawai pasukan SSTMI meraikan kejuaraan menjulang Trofi NJ Ryan.

SEMAKIN SELESA

Bermula separuh masa kedua, Amir Danial Ross Effendy terus mengukuhkan pasukannya selepas berjaya mendapatkan mata menerusi try untuk pasukan SSTMI mendahului 17-10.

SSTMI terus garang dengan memperoleh try keempat oleh Eddie Arrif Ferdaus Freedy disusuli coversion untuk SSTMI semakin garang di depan dengan kedudukan 24-10.

Tidak puas dengan itu, Suhairi Efendi Othman pula menyudahkan try kelima dan satu lagi coversion berjaya disudahkan menjadikan SSTMI semakin selesa mendahului SSHK 31-10.

Eddie Arrif terus menambah duka pasukan SSHK apabila dia sekali lagi Berjaya membuat larian deras menewaskan pemain lawan diikuti coversion untuk SSTMI meninggalkan pasukan itu di depan 38-10.

Keputusan itu kekal sehingga tamat masa permainan sekali gus menobatkan SSTMI sebagai penjulang trofi NJ Ryan sekali lagi pada tahun ini.

TERUS CEMERLANG

Jurulatih SSTMI, Syed Shazril Syed Mahadzir mengakui puas dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan dan berazam untuk terus mempertahankan kejuaraan lagi pada edisi tahun hadapan.

“Saya bersyukur kami dapat mengekalkan kejuaraan dan ini juga kejuaraan kali keempat buat pasukan serta kedua buat diri saya yang mengambil alih pasukan dari 2014.

“Kami menjangkakan saingan sengit tetapi saya tahu Hong Kong tidak akan bertahan dalam cuaca panas jadi kelebihan adalah pada SSTMI dengan kecergasan pemain juga baik cuma mulanya saya agak risau mereka akan mengikut corak permainan pasukan lawan,” ujarnya.

Sekolah Sukan Hong Kong muncul naib juara untuk kali kedua berturut-turut.

KATEGORI BERBEZA

Dalam penentuan tempat ke 3/4 kategori Cup, empat try dan satu conversion dari SMK Sri Mersing (SMSM) cukup untuk pasukan itu menang ke atas tuan rumah, MCKK dengan keputusan 22-5 sekali gus meraih tempat ketiga.

Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) pula mengungguli kategori Plate. mengatasi English College  dari Johor dengan keputusan 17-0.

Kategori Bowl, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) pula menghampakan Vajiravudh College (VC) dalam final.

SAS menang 31-10 ke atas pasukan dari Thailand itu.

Kategori Shield pula dimenangi pasukan SMK King George V (KGV) selepas mereka menumpaskan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dengan keputusan 31-15 dalam perlawanan akhir.

SMK Sri Mersing dari Johor meraih tempat ketiga setelah menumpaskan tuan rumah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

PASUKAN TEMPATAN YANG MENGAMBIL BAHAGIAN

1. Sekolah Menengah Kebangsaan Abi (Perlis)

2. Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (Kedah)

3. The Malay College Kuala Kangsar (Perak)

4. Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Perak)

5. Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (Perak)

6. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Selangor)

7. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Selangor)

8. Victoria Institution (Kuala Lumpur)

9. Sekolah Menengah Sains Selangor (Kuala Lumpur)

10. Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)

11. Sekolah Dato’ Abdul Razak (Negeri Sembilan)

12. SMK King George V (Negeri Sembilan)

13. Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing (Melaka)

14. Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Johor)

15. English College (Johor)

16. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (Pahang)

17. Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Terengganu)

18. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (Kelantan)

19. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Sarawak)

20. Sabah College (Sabah)

Pasukan Luar Negara

1. Australian International School (Singapura)

2. Hong Kong Sports School (Hong Kong)

3. SMA Durunnajah (Indonesia)

4. Vajiravudh College (Thailand)

MCKK menamatkan kejohanan pada kedudukan tempat dan tekad untuk kembali lebih garang tahun hadapan.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN

Kategori Cup:

Suku Akhir

SMK Sri Mersing (SMSM) 17-12 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR)

Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK) 26-5 SMK King Edward VII (KEVII)

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 14-0 SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW)

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 38-7 English College (EC)

Separuh Akhir

SMK Sri Mersing (SMSM) 5-28 Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK)

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 0-29 Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI)

Penentuan tempat ke 3 dan 4

SMK Sri Mersing (SMSM) 22-5 KolejMelayu Kuala Kangsar (MCKK)

Final

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 38-10 Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK)

Kategori Plate

Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) 17-0 English College (EC)

Kategori Bowl

Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 31-10 Vajiravudh College (VC)

Kategori Shield

SMK King George V (KGV) 31-15 Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS)

Anugerah TM Pemain Terbaik Kejohanan

Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar, SMK Sri Mersing (8 try)

Anugerah Pemain Terbaik Final

Eddie Arrif Ferdaus Freedy (SSTMI)