SHAH ALAM - Kejohanan Olahraga Tahunan anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 (SMKS7) berlangsung meriah dengan kehadiran ibu bapa pelajar sekolah terbabit.

Lebih menarik lagi, buat julung kalinya Stadium Shah Alam dipilih sebagai lokasi bagi menjayakan kejohanan tersebut.

Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan, Faridah Akhma Zulkifli berkata, sambutan daripada ibu bapa pelajar dilihat menggalakkan berikutan kejohanan pada tahun ini dianjurkan pada hari Ahad.

Rumah merah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan itu.

“Malah, penglibatan pelajar juga amat memuaskan kerana mereka begitu teruja untuk merasai pengalaman suasana berada di stadium yang gah dan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejohanan itu, Faridah berkata, pihaknya memilih Stadium Shah Alam sebagai lokasi bagi kejohanan tersebut berikutan daripada lokasinya yang strategik serta memiliki kemudahan sempurna.

Malah, katanya, kejohanan itu juga turut disifatkan sebagai temasya kemuncak di dalam takwim sukan sekolah 2018.

Penglibatan daripada pelajar pada kali ini amat memberangsangkan

“Pemilihan Stadium Shah Alam ini juga turut memberi suntikan kepada setiap peserta untuk mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi serta

kesungguhan dalam setiap acara dipertandingkan,” katanya.

Difahamkan, antara acara yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut adalah 100 meter, 200meter, 400meter, 4x100meter dan 4x400meter.

Dalam pada itu, Faridah berkata pihak sekolah turut berbangga dengan hasil usaha yang ditunjukkan oleh seluruh warga sukan SMKS7 yang diterajui oleh Rahimah Ahmad selaku Setiausaha Sukan pada tahun ini.

Setiap rumah sukan turut diserikan dengan maskot masing-masing.

Tambah Faridah, pihaknya berharap agar penganjuran kejohanan sebegitu dapat menyuntik semangat kesukanan dan kesungguhan di dalam diri setiap pelajar.

“Jutaan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam kejohanan ini dan pihak sekolah berharap penganjuran pada tahun ini dapat memberi semangat dan suntikan kepada pelajar di masa hadapan,” katanya.