Sekolah adalah antara institusi pendidikan yang boleh melahirkan atlet pelapis sehingga ke peringkat antarabangsa.

Justeru, penglibatan pelajar dalam sukan tahunan sekolah merupakan detik permulaan sebelum mereka berjaya ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, murid yang dikesan berbakat dalam bidang sukan di sekolah rendah perlu diberi peluang meneruskan kecenderungan ke peringkat seterusnya.

“Sukan merupakan satu program penting yang bukan semata-mata menentukan juara dalam setiap acara yang dipertandingkan namun dapat mendidik mereka melalui usaha gigih, semangat juang yang tinggi, displin diri, perancangan strategi yang rapi dan pengorbanan,” katanya ketika merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, Bentong.

 JC teruja melihat gimik perasmian sukan SK Sulaiman yang turut disertai lebih 2,000 ibu bapa dan penduduk setempat.

Acara berkenaan turut dihadiri lebih kurang 2,000 tetamu termasuk ibu bapa dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Jasvir yang mesra dikenal Datuk JC berkata, selain sesi pembelajaran dalam kelas, murid juga perlu didedahkan dengan aktiviti kokurikulum di luar kelas.

“Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kebanyakan atlet negara memulakan langkah mereka ketika di bangku sekolah.

“Bagi menghadapi cabaran masa depan murid harus dilengkapkan dengan nilai murni dan jati diri supaya boleh menjadi pemimpin pelapis akan datang,” katanya.

Beliau juga mahu ibu bapa terlibat dalam acara berkenaan bagi mewujudkan hubungan baik antara komuniti sekolah.

Sebahagian murid dan ibu bapa melakukan senaman zumba yang telah memeriahkan sukan sekolah tersebut.
 

Sukan erat hubungan sekolah dan masyarakat

Kejohanan Sukan SK Sulaiman ke-61, berlangsung meriah dengan semangat kesukanan yang ditonjolkan semua pihak.

Guru Besar SK Sulaiman, Arbina Abd Rahman bersyukur acara itu turut membabitkan murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) NGO serta masyarakat setempat.

Menurut beliau, sememangnya hal ini penting diberi perhatian kerana sukan bukan hanya satu aktiviti riadah malah satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

“Saya optimis temasya sukan merupakan jambatan perpaduan antara masyarakat luar dengan pihak sekolah dan pada masa sama, bukan sahaja kokurikulum malah bidang akademik serta bina insan juga dapat dilonjakkan bersama.

“Kekangan kos penyelenggaraan seperti hadiah, jamuan dan lojistik tertentu dapat diatasi asalkan ada kerjasama serta perancangan teliti antara semua demi kelestarian pembangunan modal insan pelajar berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Arbina berkata, penganjuran program itu juga dapat mengeratkan laagi silaturahim sekali gus memupuk semangat dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Keceriaan murid yang mewakili rumah merah dalam acara perbarisan.

Menurutnya, kehadiran dan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur termasuk murid sekolah menunjukkan komitmen tinggi masyarakat dan ibu bapa dalam menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pelbagai golongan masyarakat dan aktiviti dilaksanakan telah berjalan dengan baik serta berjaya mencapai matlamat.

“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak program ini akan dapat dilaksanakan lagi dengan lebih baik pada tahun hadapan,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan peringkat sekolah itu penting untuk mencungkil bakat baharu bagi diketengahkan dalam kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Bentong dan seterusnya mewakili daerah.

Murid SK Sulaiman bertarung untuk merebut juara bagi memberi mata kepada rumah masing-masing.

Jc (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada pasukan rumah Hijau yang menjadi johan dalam pertandingan perbarisan.