KUALA PILAH - Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat ketiga pada Kejohanan Bola Sepak Piala Gothia di Gothenberg, Sweden, kelmarin.

Pengetuanya, Roslin Bahlia berkata, pasukannya sebelum itu terkandas ketika perlawanan separuh akhir bertemu Brazil dengan jaringan tipis 1-2.

Bagaimanapun katanya, kejayaan pasukan itu yang terdiri daripada 16 pemain bawah 14 tahun meraih tempat ketiga tetap membanggakan sekolah dan negara.

“Ini kali pertama kami mencatat kejayaan selepas lima tahun menyertai Piala Gothia. Berkat sokongan dan usaha gigih daripada jurulatih, Mohd Hakimi Ramli, akhirnya kami berjaya meraih kecemerlangan di peringkat dunia.

“Syabas dan tahniah buat pemain dan warga SSNS SMK Za’ba serta pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam memartabatkan sukan bola sepak tanah air,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Kejayaan itu membolehkan pasukan negara membawa pulang piala berserta medal.

Roslin berkata, pasukannya berada di Sweden bermula 16 Julai lalu dan dijangka tiba ke tanah air petang hari ini.

Sebanyak 214 pasukan dari 26 negara bertanding dalam kejohanan itu.