Pasukan Hoki Perempuan Bawah 18 tahun Daerah Sabak Bernam melakar kejayaan membanggakan apabila muncul juara pada Kejohanan Hoki Sekolah Menengah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS) 2018.

Pengerusi Teknik Hoki Daerah Sabak Bernam, Musa Razali berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik Majlis Sukan Sekolahsekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam sejak menyertai kejohanan hoki MSSS.

Menurutnya, pada perlawanan akhir, pasukan di bawah bimbingan jurulatih Erzazuraidi Mohd Nasir berjaya menewaskan pasukan hoki Petaling Perdana 1- 0 sekali gus menjuarai kejohanan itu.

"Rata-rata mereka adalah pemain hoki pasukan yang menjadi johan pada Kejohanan Olimpik Muda Bawah 14 Tahun 2017.

"Malah, lebih membanggakan, pemain Nurul Nafisah Khairul Anuar dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan bagi kategori perempuan," katanya.

Musa berkata, kejayaan itu juga melayakkan pasukan tersebut mewakili negeri Selangor ke Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM)
yang berlangsung di negeri Perak pada Ogos depan.

Kejohanan itu berlangsung di Padang Turf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, di sini.