DURIAN TUNGGAL - Pasukan EDF muncul juara selepas berjaya menewaskan pasukan Pengkalan Minyak Junior dengan jaringan 1-0 ketika bertemu dalam perlawanan akhir Karnival Futsal bawah 13 Tahun Piala Taming Sari FC, di sini, baru-baru ini.

Penyelaras karnival, Zaihairi Zailani berkata, sebelum itu pasukan berkenaan bersama Taming Sari FC A dan B, The Fighters A dan B, BR Boys A, Telok Mas Junior dan Pengkalan Minyak Junior telah berjaya ke suku akhir setelah menempuh cabaran berliku menewaskan pasukan lain.

Menurutnya, setelah perlawanan suku akhir berlangsung, pasukan The Fighters A , EDF, BR Boys A dan Pengkalan Minyak Junior layak ke separuh akhir dan menang dalam perlawanan suku akhir masing-masing.

“Dalam perlawanan separuh akhir pertama, pasukan EDF kemudian berjaya menewaskan pasukan The Fighters A dengan jaringan 1-0 untuk layak ke perlawanan akhir bertemu Pengkalan Minyak Junior.

"Pengkalan Minyak Junior memenangi perlawanan separuh akhir kedua menumbangkan pasukan BR Boys A dengan dengan jaringan 1-0.

“Ketika perlawanan akhir EDF berjaya menundukkan Pengkalan Minyak Junior yang merupakan salah satu daripada 12 pasukan bertanding.

“Kejayaan itu sekali gus membolehkan Pasukan EDF bawah 13 tahun membawa pulang piala kejohanan, wang tunai RM400 dan medal,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Zaihairi, beliau bersyukur dengan kejayaan pihaknya menganjurkan kejohanan itu yang mencapai matlamatnya selain mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama dari jawatankuasa Kelab Bola sepak Taming Sari sendiri yang banyak membantu dan bertungkus-lumus melaksanakan karnival kali ini.

“Selain itu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka turut memberi kepercayaan kepada Kelab Bola sepak Taming Sari untuk menyelaras pertandingan ini,” katanya.

Dalam pada itu, naib johan membawa pulang wang tunai RM200 dan medal, tempat ketiga dan keempat pula membawa pulang wang tunai RM50 serta medal.

Hadir sama, Presiden Kelab Bola sepak Taming Sari, Rafiean Kamarulzaman.