DURIAN TUNGGAL - Pasukan Kelab Bola Sepak Taming Sari muncul johan Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Bawah 10 tahun anjuran SKBR Development Programme.

Presiden Kelab Bola Sepak Taming Sari, Rafiean Kamarulzaman berkata, pihaknya berpuas hati dengan usaha dan pencapaian yang ditunjukkan pemain.

Menurutnya, pasukan tersebut memperoleh pengalaman berharga dalam perlawanan itu, sekali gus meningkatkan azam untuk terus berusaha mencatat kemenangan dalam kejohanan akan datang.

“Dalam kejohanan itu, Kelab Bola Sepak Taming Sari telah menghantar satu pasukan bawah 9 dan 10 tahun untuk menyertai kategori bawah 10 tahun yang disertai lapan pasukan bola sepak sekitar negeri ini.

“Pasukan Kelab Bola Sepak Taming Sari yang berada dalam kumpulan A bersaing bersama pasukan BR Boys B, No-T Skills, SKTM Panthers B dan Sinar FC. Pemain menunjukkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan,” katanya.

Tambahnya, pada perlawanan akhir, Kelab Bola Sepak Taming Sari yang bertemu BR Boys B memenangi sepakan penalti dengan jaringan 3-1, sekali gus muncul johan.