BIARPUN memiliki reputasi besar selaku juara bertahan Kejohanan Ragbi Super Six, namun Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) Ipoh lebih selesa menganggap diri mereka sebagai underdog apabila berdepan musuh tradisi, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada separuh akhir di laman sendiri, esok.

Ketua jurulatihnya, Muhd Khairul Azhar Md Noor berkata, mereka perlu merendah diri dalam misi untuk mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut.

Beliau juga meramal aksi di Padang Star Ipoh esok berlangsung sengit kerana MCKK katanya pasti mahu bangkit selepas dikecewakan anak buahnya pada saingan peringkat liga.

"Memang misi kami untuk pertahankan gelaran dengan muncul juara buat kali keempat. Namun, kami tidak boleh perkecilkan lawan terutama MCKK.

"Mereka lawan yang sukar. Di peringkat liga kami hanya menang tipis 11-10, jadi saingan memang sengit," katanya.

Barisan penaja yang menjayakan Kejohanan Ragbi Super Six.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman penajaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk kejohanan itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria dan Pengarah Program Pembangunan Ragbi Negara, Prof Madya Dr Ahmad Naim Ismail.

Untuk edisi keempat, Star yang muncul juara peringkat liga Super Six tahun ini turut dibarisi lapan muka lama yang menjulang kejuaraan tahun lalu.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertembungan di antara naib juara Liga Super Six, Sekolah Sultan Alam Shah dan juara Liga Perdana, Victoria Institution (VI) di Padang Alamanda, semalam.

Noor Helmi (kiri) bersalaman dengan Pengarah Pembangunan Malaysia Ragbi Profesor Madya Dr Ahmad Naim Ismail  selepas sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam.

Perlawanan akhir dijadualkan pada 13 Mei ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang mana juara akan membawa pulang Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Untuk rekod, Star menjuarai ketiga-tiga edisi kejohanan itu pada 2013, 2015 dan 2016, manakala pada 2014 kejohanan itu tidak dianjurkan.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Noor Helmi Nong Nadzmi meramal aksi separuh akhir hari ini berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan adalah pilihan mara ke perlawanan akhir.

"Susah nak ramal kerana Star dan MCKK adalah musuh tradisi, apa yang saya boleh kata perlawanan esok pasti menarik kerana prestijnya boleh disamakan dengan saingan bola sepak Piala Malaysia," katanya.