“Kalau dulu… suara ini lah yang kami dengar setiap pagi dan usai waktu pembelajaran. Bila arwah Syazwan bacakan doa... Tak perlu suruh pelajar diam, mereka sendiri akan diam menghayati lunak suara si pembaca…”

Begitulah Mohd Arif Syazwan Mohd Sabri, arwah seorang pelajar yang sangat baik akhlaknya, rajin berkhidmat, dan sangat menghormati guru. Selain  cepat faham pelajaran, arwah juga mempunyai suara yang lunak… rajin mengaji dan disenangi ramai.

Kini, Syazwan sudah pergi jauh… kepulangannya bertemu Pencipta mengundang kerinduan dan sebak di hati semua guru dan pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang, Terengganu.

Menurut Guru Bahasa Arab, Ustazah Wan Noraida Wan Mustafa, arwah Mohd Arif Syazwan Mohd Sabri seorang pelajar yang disayangi ramai.

Seluruh warga sekolah termasuk guru, pelajar dan tukang sapu sangat menyayangi dan merindui arwah Syazwan. Malah, ketika perjalanan akhir Syazwan, semua yang kenal dia, pasti akan menitiskan air mata.

“Arwah sangat baik akhlaknya. Dia juga sangat menghormati orang lain… Bagaimanalah kami tidak jatuh sayang pada kamu Muhd Arif Syazwan…,”ujarnya sebak.

Dirimu dalam kenangan

2 Julai lalu, Syazwan datang ke sekolah dengan gembiranya. Dia bagi tahu ustazah, dia dah boleh berdiri sendiri. Itu pun sebab dia makan ubat tahan sakit.

Tapi, dalam jam 10 pagi tu, Syazwan cakap, dia sesak nafas. Syazwan terus dibawa ke hospital Sultanah Nur Zahirah oleh keluarganya dan dia terpaksa ditahan wad untuk rawatan lanjut. Doktor keluarkan 1 liter air dari paru-paru Syazwan.

17 Julai, Syazwan telah dibawa ke HUSM. Selepas MRI, didapati Syazwan mengidap kanser tulang.

Seminggu sebelum itu, ustazah melawat dia di HSNZ. Dia nampak ceria. Bila nampak ustazah dari jauh, dia macam nak bangun dan gembira sangat.

Ramai kawan-kawan datang melawat. Pelajar-pelajar  junior dia pun tak putus datang melawat. Ustazah dan kawan cikgu lain yang datang, akan suapkan dia nasi dan bagi dia minum air. Dia senyum je…

Walaupun dalam keadaan sakit, dia tetap rai tetamu yang ziarah dia. Hebat sungguh arwah Syazwan.

Tapi, bila dia dapat tahu, penyakit sebenarnya. Dia mula berubah. Ustazah datang, dia macam tak boleh nak pandang ustazah. Nampak jelas kesedihannya waktu itu.

Cuma lama-kelamaan Syazwan sudah mula terima hakikat. Mak dia bagi tahu, sepanjang sakit, Syazwan tak pernah menangis.

Jumaat baru ini, saat paling sedih. Kami cikgu-cikgu yang mengajar dia, menangis dan sentiasa doakan Syazwan kuat.

Waktu tu, mak dia panggil dia dah tak menyahut. Lepas Maghrib, bacaan oksigennya dah mula menurun, dari 90 ke 87 dan 67.

Lebih kurang jam 9.40 malam, Syazwan pergi tinggalkan kami. Semua yang kenal dia turut menangis…. itulah kali terakhir kami menatap wajah pelajar yang kami sayangi.

Dia di mata kami

  • Sentiasa minta maaf.
  • Sentiasa mesej.
  • Merendah suara apabila bercakap dengan guru.
  • Selalu berterima kasih kepada guru apabila selesai waktu belajar.
  • Semua pelajar akan berterima kasih tapi arwah ni lain, dia akan jumpa guru seorang diri dan cakap terima kasih.
  • Sentiasa cakna pada kesihatan guru.. suka bertanya khabar.
  • Sentiasa cuba bagi yang terbaik kepada semua orang.
  • Sangat amanah kepada tanggungjawab yang dipikul.
  •  Menjaga hubungan baik bersama kawan-kawan tak kira usia.
  • Yang paling terkesan.. Dia bagi sambal bilis kepada guru-guru yang mengajar dia. Termasuklah cikgu yang pernah mengajar dia ketika di Tingkatan Satu. Dia tak ada duit macam orang lain, hanya dengan cara tu sahaja, dia dapat bagi hadiah kepada cikgu.

Nukilan terakhir buat pelajarku

Izinkan saya nukilkan kisah terakhir tentang Arif Syazwan. Lima tahun dia bersama kami di SMA Mahmudiah. Seluruh warga menyayangi Syazwan.. Dari para guru.. Hingga ke tukang sapu..

Selepas SPM, ibu bapa salah seorang sahabat baiknya ingin biayai pelajarannya ke Turki... Ibu kawannya seorang doktor… tapi Syazwan terlebih dahulu minta pendapat saya memandangkan saya guru bahasa Arabnya, tambahan pula dia berhasrat nak sambung pelajaran ke Madinah.

Setelah itu dia buat keputusan untuk sambung STAM di SMA Atas Sultan Zainal Abidin Batu Buruk untuk mantapkan bahasa Arabnya… Masih terbayang diingatan saya ketika kami bersua di Ihtifal ketika dia mendapat Johan hafazan.

Dia tunggu saya, "Ustazah, saya nak bagitahu ustazah berita gembira.. Ada dah orang nak taja saya sambung belajar ke Saudi nanti.”

Masih terbayang wajah gembiranya hingga ke saat ini. Sebelum berpisah, saya hulurkan RM100 kepada dia.. Dia tak nak ambik..

"Banyak ni ustazah.. "

“Kamu dah macam anak saya Syazwan. RM100 itu bukan apa-apa.…”

Di sekolah barunya.. dia rupanya disayangi oleh semua warga sekolah.

Ketika dia sakit kaki.. Kawan-kawan di sana kumpulkan duit beli tongkat untuk Syazwan.. Apabila diketahui oleh para guru.. Mereka belikan kerusi roda untuk Syazwan... Sejujurnya.. Sayang sungguh kami pada Syazwan sehingga rasa tak nak bagi Syazwan ke mana-mana..tetaplah di sekolah kami.. Setiap kali Syazwan datang ke sekolah kami.. Kami minta dia balik lambat.

Kenapa??. Kami mintak dia bacakan doa balik.. Kami rindu suara Syazwan.. Wallahi...

Ibu saudaranya maklumkan pada saya, dia dah siap terjemahkan sijil Syazwan untuk ke Saudi nanti... Dan dia berharap sijil itu bukan kenangan kepada mereka.

Tapi… ternyata kuasa ALLAH mengatasi segala.

Dan pagi ini.. Saksikan pemergian Syazwan.. Sehingga ini dia dimuliakan.. Kenapa? Sebab dia sangat hormatkan para gurunya.

Pernah dia tertidur... Dia mintak maaf dengan guru STAMnya.. Berkali-kali dia minta maaf. Ustazah itu bagitahu pada saya.

Baik sungguh Syazwan ni. Syazwan diakui oleh sahabatnya. Dia rajin bangun bemunajat di sepertiga malam.. Menghidupkan malamnya dengan kalam-kalam ALLAH melalui lunak suaranya... Allahuakbar.. Hebatnya kamu sayang...

Cerita ini.. Kita kongsikan lah kepada anak didik kita.. Bagaimana kita dihormati apabila kita menghormati.. Bagaimana kita dimuliakan apabila kita memuliakan..

Terakhir kami di Terengganu ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli SGM yang mendoakan anaknda kami.. Ramai yang menghulur bantuan..dan malah ada dalam kalangan ahli SGM yang menziarahi Syazwan di HUSM. Terima kasih atas jalinan ukhuwah ini. Jazakumullah

Sentiasa dirindui

Kalau dulu.. Suara ini lah yang kami dengar setiap pagi dan usai waktu pembelajaran. Bila arwah bacakan doa... Tak perlu suruh pelajar diam.. Mereka sendiri akan diam menghayati lunak suara si pembaca..

Allahuakbar.. Kerana inikah kamu dimuliakan pada usia yang sangat muda...?

Ustazah, gambar masa malam raya hari tu dekat rumah tok ma dia. Semua orang sedap tidur, dia bangun mengaji. Gitulah arwah Syazwan ustazah.- ibu saudara anakanda Syazwan yang kami sayang.

ARTIKEL MENARIK:

Pesanan khas untuk ibu bapa menjelang peperiksaan UPSR

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi