Bagi sesetengah murid, menjamah makanan seperti chicken chop sudah menjadi perkara biasa tetapi lain pula kisahnya bagi segelintir keluarga kerana menu sedemikian dianggap terlalu mewah sehingga ada yang tidak pernah merasa juadah itu kerana dianggap terlalu mahal untuk membelinya.

Perkongsian yang dibuat guru di SK Bandar Putra, Johor, Cikgu Norunajwa Safiei mengenai kisah anak muridnya dan chicken chop ini cukup membuatkan sesiapa saja sebak dan tersentuh hati kerana tidak semua orang bernasib baik dan dapat menikmati makanan sedap.

Rata-rata warga maya turut berkongsi rasa sebak dan terharu dengan sikap terpuji yang ditunjukkan murid berkenaan dan mendoakan supaya anak itu beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Ikuti perkongsian Cikgu Norunajwa Safiei mengenai kisah muridnya yang begitu mulia hatinya.

***********

Bukan kisah anak saya..tetapi kisah anak murid saya.

Selepas mengagihkan makanan kantin kepada murid yang menempah makanan, ada baki sebungkus chicken chop kerana ada murid yang tidak hadir.

Saya mencari jika ada murid yang tidak bawa bekal makanan untuk diberikan makanan tersebut. Tetapi masing- masing telah kekenyangan. Tiba- tiba..

"Cikgu, boleh tak saya nak chicken chop tu? Sebab saya nak bawa untuk kakak dan keluarga saya. Kakak saya nak sangat rasa makan chicken chop. Dia tak pernah makan chicken chop. Saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu?"

"Oh ok. Ambillah chicken chop ni. Berikan pada kakak awak. Awak nak bagi kakak rasa chicken chop ye?

"Haah cikgu. Nanti mesti kakak saya suka."

"Mak dan ayah awak kerja? "

"Ayah dulu kerja. Tapi sekarang dah tak kerja. Sebab PKP. Mak saya kerja kilang".

Sungguh saya tersentuh dengan anak murid saya ini. Seorang anak dan adik yang baik. Seorang anak yang ingat keluarga juga. Saya doakan anak ini berjaya dan terus menjadi anak yang baik untuk keluarga.

Komen warga maya yang turut tersentuh dengan kisah yang dikongsikan Cikgu Norunajwa.

Semoga kisah ini menjadi tauladan kepada lebih ramai murid di luar sana. Sikap terpuji sebegini wajar dicontohi supaya dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang penyayang dan saling tolong - menolong antara satu sama lain.

Artikel menarik

Tip yang perlu guru buat dan elak dalam bab penampilan, ini senarainya!

Sebelum lepaskan anak-anak ke asrama penuh, ini 8 tip yang perlu mak ayah buat. Mohon hadam