Sungguh mulia tugasmu guru, mendidik anak bangsa tidak kira masa dan ketika. Ada yang sanggup berperahu dan berselut, tidak kurang juga yang berkereta pacuan empat roda nun jauh ke pedalaman semata-mata untuk menghantar kerja sekolah.

Namun berlainan pula dengan Guru dari SK Gangsa, Durian Tunggal, Melaka, Cikgu  Nurlailam Mustaffa ini. Tidak mahu muridnya keciciran dalam pelajaran, Cikgu Nurlailam sanggup ke rumah murid untuk mengajar.

Ikuti perkongsian Cikgu Nurlailam ini.

Sedikit usaha yang tidak seberapa untuk anak-anak murid.

Pembelajaran Matematik sukar belajar sendiri di rumah. Selain tahu rumus, murid perlu mahir mengaplikasi rumus untuk menyelesaikan masalah.

Kadang-kala bukan murid sahaja yang belajar dengan saya, bahkan saya juga turut mengajar para ibu bagi memudahkan mereka mengajar anak-anak di rumah.

Saya amat terharu mempunyai ibu bapa yang begitu perihatin terhadap pendidikan anak-anak.

Bagi  murid-murid yang serba kekurangan pula lagilah kasihan, mereka perlu tunggu ibu dan bapa pulang kerja barulah boleh whatsapp saya tanya kerja sekolah.

Jadi atas kasihnya saya kepada murid, saya cuba berikan yang terbaik meskipun masih banyak lagi kekurangan diri saya sebagai pendidik.

Untuk mereka, saya jalankan Tour De Cikgu Lailam, menyantuni murid ke rumah mereka.

Kedatangan saya disambut baik, dan kami belajar dalam suasana santai di halaman rumah saya atau rumah mereka.

Semoga suatu hari nanti mereka akan menjadi murid berjaya yang dapat membanggakan ibu dan ayah.

Begitulah kisah Cikgu Nurlailam Mustaffa yang sanggup berkorban masa demi muridnya. Lepas ni bolehlah cikgu-cikgu cuba, tiadalah lagi  alasan murid nak ponteng kelas...

Terima kasih cikgu.