Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah melabuhkan tirainya minggu lalu tetapi masih ada beberapa kumpulan pelajar yang perlu menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula kerana beberapa sebab.

Bagi pelajar yang sudah selesai menduduki peperiksaan, sudah semestinya ada yang buntu untuk memilih program pengajian yang bakal diikuti di universiti kelak memandangkan tarikh tutup permohonan UPUOnline juga tinggal beberapa hari saja lagi.

Bagi pelajar yang masih tidak tahu untuk membuat pilihan mengenai program pengajian yang ingin dipilih, GPS Bestari kongsikan beberapa tip daripada Kaunselor Berdaftar, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani untuk rujukan semua.

Ikuti tip yang dikongsikan di bawah:

1) Kenal pasti kebolehan diri

Bagaimana untuk mengenal pasti kebolehan diri? Contohnya, jika pelajar berkebolehan dalam bidang berkaitan visual, elektronik atau sosial, jadi dia perlu pilih aliran yang berkaitan dengan kebolehan yang dimiliki. Jangan jadi seperti sesetengah pelajar yang tidak minat bidang elektronik, mekanikal tetapi memilih program kejuruteraan. Di situ sudah timbul konflik identiti, personaliti dan kebolehan dalam diri mereka. Kenal pasti kebolehan diri dan minat berdasarkan pengalaman lepas dalam pembelajaran atau subjek yang pelajar cemerlang ketika di sekolah kerana subjek itu adalah bayangan atau gambaran kepada kebolehan pelajar itu sendiri.

Meskipun begitu, sekiranya pelajar mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mengikuti program pengajian lain selain daripada kebolehan diri, itu tidak menjadi masalah. Contohnya, seseorang pelajar itu cemerlang dalam bidang sains atau matematik tetapi mempunyai keyakinan yang tinggi dalam penulisan atau kecerdasan linguistik dan yakin untuk ke depan, mereka boleh mengikuti kursus berkenaan.

2) Sedia maklum dengan cita-cita

Contohnya, sekiranya pelajar itu ada memasang cita-cita untuk menjadi jurutera, maka dia boleh mengikuti kursus kejuruteraan. Jika dia minat untuk menjadi kaunselor, dia boleh pilih kursus bimbingan dan kaunseling di mana-mana universiti yang menawarkan kursus berkenaan berdasarkan kelayakan yang ditetapkan. pelajar perlu memastikan mereka mempunyai semangat untuk belajar seiring dengan cita-cita mereka tetapi perlu ditegaskan di sini, cita-cita itu bukan bukan cita-cita mak atau ayah mereka sebaliknya cita-cita sendiri yang tiada paksaan daripada sesiapa.

3) Perlu minta pendapat orang lain

Sebelum membuat pilihan program pengajian dan universiti, pelajar disarankan supaya meminta pendapat atau pandangan daripada individu yang lebih arif seperti kaunselor pendidikan, guru-guru atau menghadiri karnival pendidikan bagi mendapatkan maklumat dan pendapat. Teliti satu persatu pendapat yang diberikan terhadap kursus yang ingin dipilih atau disenaraikan.

4) Senaraikan kelebihan dan kekurangan program yang ingin dipilih

Senaraikan kelebihan dan kekurangan dalam setiap bidang pengajian yang sudah disenaraikan kerana ada sesetengah pelajar, mendapat keputusan cemerlang dan mahu mengikuti program pengajian dalam bidang sains tetapi ada sesetengah bidang sains itu tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang meluas. Jadi, senarai itu akan membantu mereka melihat dengan lebih jelas kelebihan atau kekurangan kursus yang menjadi pilihan.

5) Perlu mengambil kira peluang pekerjaan di masa depan

Tidak dinafikan, setiap peluang pendidikan memberikan peluang kepada pelajar untuk menyediakan pekerjaan kepada diri sendiri dan orang lain tetapi realitinya bukan semua orang boleh menjadi majikan atau job creator. Oleh itu, aspek peluang pekerjaan ini perlu dititikberatkan ketika membuat pemilihan kursus pengajian kerana saya percaya ramai orang di luar sana yang percaya bahawa pendidikan mampu mengubah nasib seseorang. Oleh itu, kena lihat dulu apakah peluang pekerjaan yang ditawarkan di pasaran sekiranya memilih sesuatu kursus itu.

6) Perlu mempersiapkan diri dari segi mental, emosi dan dan tingkah laku supaya selari dengan kursus yang ingin diambil

Pelajar perlu mempersiapkan diri dari semua aspek berkenaan melalui pergaulan seharian, komunikasi, pembacaan, penglibatan diri bermula dalam peringkat awal selepas SPM supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran dan perkembangan industri berkaitan bidang yang dipilih.

Semoga tip yang dikongsikan ini membantu pelajar membuat pilihan program pengajian dengan tepat dan bijak.

Artikel menarik

24 pesara UniSZA diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang

UMK dan UMB jalin kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan