Seorang guru atau tutor sentiasa mempunyai keinginan yang tinggi untuk memberikan ilmu yang terbaik kepada pelajarnya.

Jarang atau tidak sekali pun kita bertemu dengan guru yang sekadar melepaskan batuk di tangga.

Perjalanan sebagai seorang pendidik bukanlah mudah kerana tanggungjawab yang dibawa perlulah dititikberatkan kerana ia merupakan saham akhirat yang mahal.

Cabaran utama yang kerap dihadapi oleh golongan ini adalah cara untuk menarik minat pelajarnya meneruskan pembelajaran.

Setiap pelajar mempunyai kerenah dan gaya yang tersendiri.

Jadi, perkongsian kali ini mungkin dapat membantu anda menarik minat para pelajar.

Lima teknik yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar ialah:

1) Kenali Gaya Pembelajaran Pelajar

Setiap pelajar mempunyai gaya belajar yang tersendiri. Terdapat tiga kategori gaya utama pembelajaran iaitu Audio, Visual dan Kinestatik.

Guru-guru perlu mengenalpasti kategori gaya pembelajaran setiap pelajarnya untuk memudahkan proses pembelajaran.

Jika diamati, pembelajaran abad ke 21 boleh merangkumi ketiga-tiga gaya pembelajaran ini.

Contohnya penggunaan bahan digital seperti video pembelajaran. Di dalam video pembelajaran kebiasaannya telah merangkumi ketiga-tiga gaya pembelajaran untuk pelajar di dalam kategori Audio, Visual dan Kinestetik.

2) Mempelbagaikan Kaedah Pembelajaran

Kebiasaannya, murid yang lemah cepat bosan dengan apa yang dipelajarinya. Mereka mudah untuk hilang tumpuan. Jadi, cikgu mahupun tutor perlu bertindak pantas dengan mempelbagaikan gaya pengajaran untuk mengelakkan pelajar cepat bosan.

Adakan aktiviti yang menarik seperti meminta beberapa pelajar ke depan dan menunjukkan sekeping kad berwarna kepada beberapa rakan yang lain untuk mereka meneka abjad (besar dan kecil) yang telah ditunjukkan.

Penggunaan bahan pengajaran yang kreatif boleh membantu mereka menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Harus di ingat, setiap aktiviti yang dijalankan tidaklah perlu mengambil masa yang lama. Hal ini untuk mengelakkan pelajar menjadi bosan.

Hadkan setiap aktiviti dan bertukar kepada aktiviti yang seterusnya untuk mengelakkan pelajar hilang tumpuan dan kemudian mereka telah diperkenalkan dengan benda yang baharu.

3) Penyediaan Ganjaran Yang Menarik Untuk Pelajar

Pembelajaran yang disertai dengan penyediaan ganjaran lebih membantu untuk menarik minat pelajar.

Terdapat dua jenis ganjaran yang menjadi kebiasaan iaitu ganjaran yang berbentuk peneguhan positif dan peneguhan negatif.

Ganjaran peneguhan positif seperti pujian atau memberikan hadiah seperti sticker, pemadam, pembaris dan pensel. Hal ini dilakukan bagi merangsang, menaikkan minat dan semangat mereka untuk terus belajar.

Peneguhan negatif pula seperti memberikan hukuman atau denda. Contoh denda berdiri sambil menyiapkan tugasan (homework) yang telah diberikan oleh Tutor, berdiri diluar kelas sambil memegang sepanduk, jalan itik dan banyak lagi. Namun pastikan denda itu adalah yang munasabah.

Walaubagaimanapun, peneguhan positif lebih sesuai digunakan dan digalakkan untuk murid-murid yang lemah. Hal ini dapat membantu dan menarik minat mereka untuk teruskan belajar. Panggil nama pelajar ini sekerapnya. Itu menunjukkan Tutor ambil berat perihalnya.

4) Mengulangi Berkali-kali Apa Yang Telah Diajar

Ulangi isi pelajaran dengan kaedah yang berbeza. Guru perlu mengulangi isi pembelajaran dengan kaedah yang berbeza bagi membantu murid yang lemah.

Pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi memberikan pemahaman kepada pelajar seperti menggunakan peta minda, kad berwarna, media tersendiri dan macam-macam lagi mengikut kreativiti tersendiri.

Tip ini juga telah disebut dalam perenggan sebelumnya, sentiasa memanggil nama pelajar yang lemah sewaktu sesi pembelajaran. Ini akan membantu mereka sentiasa fokus kepada anda dan juga sesi pembelajaran.    

5) Bersikap Tegas Tetapi Bukan Garang

Setiap guru dan tutor perlu mempunyai sifat yang tegas tetapi bukanlah garang. Dengan ketegasan mereka, pelajar dapat kenali antara yang betul dan salah. Elakkan dari bersifat garang.

Sifat ini akan menyebabkan pelajar takut dan tidak ingin belajar. Kebiasaannya, murid yang lemah mempunyai masalah disiplin. Ketegasan dapat membantu mereka memahami apa yang dipelajari dan sekaligus membantu mereka mematuhi peraturan ketika belajar.

Dorongan dan motivasi yang berterusan dari seorang pendidik amat diperlukan untuk untuk melahirkan insan yang mempunyai nilai murni dan berdaya saing pada masa akan datang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia.

Sumber: Portal CMN Digital Tuition

Artikel menarik

Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA

Maskot watak adiwira Ultraman, Spiderman, Ironman sambut kehadiran murid SK Setia Alam