Pernah tak kita terfikir kenapa orang lain boleh berjaya dalam kehidupan, boleh membeli apa sahaja yang diimpikan, bergembira dengan keluarga tercinta dan memperoleh banyak rezeki.

Secara umumnya, mereka ini mempunyai satu corak kehidupan yang boleh dikategorikan “berjaya” dalam majoriti masyarakat.

Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan (KBPA) Sekolah Sukan Malaysia Sabah, Cikgu Faizal Azmi berkongsi sembilan nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk seseorang itu berjaya dan fokus dalam kehidupan.

 

1) Niat

Kita mesti mempunyai niat yang jelas untuk berjaya. Contohnya niat kita mahu berjaya untuk apa? Mahu bantu keluarga, untuk diri sendiri, ingin keluar dari kepompong lama atau ingin mempunyai pekerjaan yang bagus. Fikirkan dan tanamkan niat anda sekarang.

 

2) Jangan takut untuk jatuh

Tidak dinafikan terdapat segelintir daripada kita selalu takut untuk jatuh. Selagi kita tidak mencuba kita tidak akan tahu tahap kemampuan kita. Walaupun kita terpaksa meredah kesukaran tetapi hakikatnya itulah kehidupan yang perlu kita tempuh untuk berjaya. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

 

3) Bayangkan sasaran anda

Cuba kita rasa dan bayangkan kita menjadi seorang yang hebat dan berdisiplin. Sasaran kita perlulah diletakkan pada tahap tertinggi. Contohnya, jika kita seorang pelajar kita tidak boleh hanya sasar untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata tetapi meletakkan sasaran untuk memperoleh gred terbaik dalam semua mata pelajaran. Jika kita ada sasaran yang jelas, pasti kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

 

4) Pilih aktiviti yang sihat

Kita akan menjadi lebih fokus dalam menjaga fizikal, mental dan tenaga untuk meraih sasaran yang ditetapkan. Contoh aktiviti sihat adalah seperti bersenam, mengembara, berenang, berbasikal dan lain-lain aktiviti luar. Bila badan kita sihat, otak kita akan lebih mudah fokus dan menjadi cerdas.

 

5) Buang perkara dan emosi negatif

Jika kita sentiasa berfikiran negatif dan terbawa-bawa emosi negatif, ia berpotensi membuatkan akal dan perasaan kita menjadi lemah. Sentiasa berfikiran positif dan menyebarkan kasih sayang. Buang semua emosi negatif seperti dendam, hasad dengki, cemburu, membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain serta tidak mahu tengok orang lain berjaya.

 

6) Amalkan pemakanan seimbang

Pemakanan seimbang sangat penting dalam membantu kita meningkatkan konsentrasi dan daya ingatan yang bagus untuk mendisiplinkan diri bagi mencapai kejayaan. Pemakanan seimbang boleh merangsang enzim-enzim yang positif dalam diri di samping dapat mengelakkan diri daripada penyakit-penyakit yang tidak diingini supaya kehidupan kita sentiasa berjalan lancar. Banyakkan juga pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

 

7) Latih diri lebih berdisiplin

Ketika kita hendak berjaya, banyak godaan yang akan menghampiri. Contohnya pengaruh rakan sebaya dan keinginan diri untuk berhibur. Pada saat ini, kita perlu melatih diri untuk menjadi seorang yang berdisiplin kerana godaan pasti akan datang menjengah. Di sinilah godaan datang untuk menguji ketahanan kita menjadi individu yang lebih fokus dan berdisiplin ke arah kejayaan atau sebaliknya.

 

8) Jangan sekali-kali berputus asa

Hal ini kerana pepatah Arab ada mengatakan: 'Man jadda wajada' dengan makna 'Sesiapa yang berusaha, akan mendapat apa yang diusahakannya'. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku jika kita tidak memulakan langkah pertama. Oleh itu, jangan sekali-kali kita berputus asa dalam kehidupan kerana peluang itu sentiasa ada untuk individu yang gigih berusaha.

 

9) Sentiasa berdoa dan bersyukur

Setiap individu pastinya ingin berjaya dalam kehidupan. Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha, berdoa dan bersyukur agar semua hajat serta doa kita dipermudahkan Allah SWT.

 

Semoga perkongsian Cikgu Faizal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.