Sesi persekolahan secara bersemuka bagi sekolah menengah akan bermula tidak lama lagi.

Mungkin murid-murid akan diberikan tugasan oleh guru subjek untuk melakukan pembentangan sama ada secara individu ataupun secara berkumpulan. Anda mungkin akan berasa sedikit gementar bukan?

Adalah normal jika anda berasa malu dan kekok pada awalnya. Tetapi perasaan itu boleh dikurangkan dengan adanya latihan dan persediaan yang rapi.

Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Cikgu Nurfidyana Arshad berkongsi enam tip yang boleh membantu murid untuk membuat pembentangan secara berkesan dan menarik perhatian penonton!

 

1) Kerap lakukan latihan berulang kali

Sebelum sesi pembentangan, cuba untuk melakukan latihan secara berulang kali. Pada permulaannya anda mungkin akan berasa resah, berdebar dan malu tetapi apabila latihan dilakukan berulang kali, pasti dapat membantu menambah keyakinan anda.

Lebih berkesan jika anda berlatih di hadapan cermin atau jadikan orang yang ada di sekeliling anda sebagai penonton. Hal ini menunjukkan bahawa mana-mana aktiviti yang didatangkan dengan latihan secara berterusan mampu memberikan sesuatu ‘outcome’ atau hasil yang lebih sempurna.

Anda juga boleh melakukan latihan secara merakam suara anda kemudian anda boleh menilai apakah kekurangan yang perlu diperbaiki dalam sesi pembentangan anda.

 

2) Sediakan ‘slide’ yang sesuai dan efektif

Sekiranya anda menggunakan ‘slide’, pastikan ia disediakan dengan menarik, tidak terlalu sarat dengan corak dan warna. Tajuk juga perlu jelas dan dapat dibezakan dengan bahagian penerangan. Tulisan juga perlu jelas dan dapat dibaca oleh semua penonton.

Anda boleh pelbagaikan kreativiti dalam persembahan slide seperti memasukkan gambar-gambar yang menarik, muzik dan video. Pernahkan anda mendengar satu quote yang berbunyi “A Picture Is Worth A Thousand Words?”. Anda perlu bijaksana dalam memilih gambar yang boleh digambarkan seperti ini. Elakkan menggunakan gambar yang sarat dengan perkataan, ini akan menjadikan ia kurang efektif.

 

3) Penampilan yang menarik

Anda harus ingat bahawa ketika pembentangan berlangsung, semua mata penonton akan fokus ke arah anda. Maka amat penting untuk anda memastikan pakaian bersih dan kemas. Penampilan dan perwatakan yang menarik juga amat mempengaruhi fokus penonton dan juga markah anda. Anda boleh memakai pakaian dengan mengikut etika pemakaian yang formal bagi menunjukkan diri kita mempunyai disiplin dan berkeyakinan.

Sekiranya ada terdapat sedikit ‘kecacatan’ pada penampilan anda, berkemungkinan besar penonton akan mula beralih fokus kepada apa yang mereka nampak pada penampilan anda. Jadi eloklah anda memastikan imej anda menarik sebelum anda memulakan sesi pembentangan.

 

4) Pembukaan dengan perkara yang menarik perhatian penonton

Pembukaan pembentangan amat penting bagi menarik perhatian penonton untuk terus fokus sepanjang pembentangan anda. Anda boleh memulakan pembentangan dengan memberi salam dan boleh cuba menyelitkan pantun, kisah tauladan atau kata-kata yang menarik. Mulakan dengan memperkenalkan diri dan terangkan serba sedikit tentang apa yang anda ingin bentangkan.

Suara perlulah jelas dan meyakinkan. Sewaktu membentang perlu mengawal ‘eye contact’ dengan memandang ke arah penonton. Elakkan hanya memandang ‘slide’ sepanjang masa.

 

5) Mewujudkan hubungan yang baik dengan penonton

Sepanjang sesi pembentangan berlangsung, tidak salah untuk mewujudkan komunikasi dua hala dengan cara berinteraksi dengan penonton. Hal ini dapat menjadikan penonton lebih faham dan sentiasa mengambil perhatian dengan apa yang anda sampaikan. Pelbagai teknik dan kemahiran bermain emosi juga boleh anda gunakan contohnya unsur jenaka, sedih dan gembira. Pendekatan seperti ini boleh mengelakkan penonton berasa bosan dan mula mengalih perhatian kepada perkara lain.

 

6) Maklumat disampaikan mestilah berkesan dan tepat

Anda perlu faham topik yang anda ingin sampaikan terlebih dahulu. Kemukakan fakta-fakta yang tepat dan sahih. Maklumat yang anda ingin sampaikan perlulah jelas dan menepati tajuk, jadi adalah baik anda merangka dahulu isi dan maklumat yang ingin disampaikan. Pastikan mesej yang disampaikan adalah ringkas dan mudah difahami.

Setiap maklumat yang anda pilih, sila titik beratkan juga tempoh masa yang diperuntukkan pada sesi pembentangan. Kurang keberkesanan sekiranya ada banyak maklumat untuk disampaikan tetapi gagal untuk sampaikannya berikutan faktor kekangan masa.