Dalam kehidupan seharian kita, setiap hari kita akan berfikir. Fikiran dan minda yang positif memainkan peranan penting untuk meneruskan kehidupan seharian.

Hal ini kerana setiap apa yang kita fikirkan akan mempengaruhi emosi kita seharian.

Ikuti perkongsian Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelana Jaya, Selangor, Cikgu Siti Rohayu Ahmadan mengenai tip untuk minda yang positif berasaskan perkataan G.E.M.B.I.R.A

 

1) G: Gembira

Gunakan masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan kerana ia akan mendorong emosi positif supaya anda lebih ceria dan bahagia setiap hari.

 

2) E: Emosi positif

Emosi yang positif akan mempengaruhi hari anda. Tarik nafas dan buang emosi negatif jauh daripada diri anda. Ini perlu diamalkan dalam kehidupan seharian anda untuk mendapatkan minda yang positif setiap hari. Cubalah!

 

3) M: Minda cerdas

Apabila kita mengamalkan gaya hidup yang sihat, secara tidak langsung ia akan memberikan impak yang positif secara mental dan fizikal, seiring dengan slogan Badan Sihat Minda Cerdas.

 

4) B: Beribadat

Melaksanakan tanggungjawab dengan melakukan ibadat mengikut kefahaman dan amalan agama masing-masing akan menjadikan hidup anda lebih bermakna serta bersyukur dengan apa yang diperolehi.

 

5) I: Insentif

Beri hadiah atau ganjaran kepada diri sendiri merupakan salah satu kaedah terbaik untuk membahagiakan diri. Tidak perlu barangan mewah, cukup sekadar coklat. Ia sudah cukup untuk mengukir senyuman di wajah anda.

 

6) R: Rasional

Manusia berfikir menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Tuhan. Pemikiran yang rasional dan positif akan membantu anda membuat keputusan yang betul tanpa menggunakan emosi semata-mata.

 

7) A: Amalkan tidur yang cukup

Amalan tidur yang cukup merupakan meditasi yang baik kerana apabila anda mendapat tidur yang mencukupi, anda akan memulakan hari anda dengan positif dan ceria.

 

Diharapkan perkongsian ini, sedikit sebanyak membantu anda untuk mendapatkan minda yang positif setiap hari. Cubalah!