Pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), sekatan merentas negeri serta penutup sekolah sebelum ini sehingga menyebabkan murid-murid terpaksa belajar secara atas talian di rumah, sedikit sebanyak menjejaskan emosi anak-anak.

Situasi itu dilihat boleh menjejaskan emosi anak-anak kerana tidak bebas meneroka persekitaran malah ada dalam kalangan mereka mudah marah dan menjadi kurang gemar bersosial.

Tahap usia murid pada ketika ini, sepatutnya tiada perkara yang perlu dirisaukan kerana dunia murid merupakan satu penerokaan kepada mereka. Proses penerokaan bagi mereka adalah satu proses belajar yang penuh dengan keseronokan.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, perasaan gembira ini perlu diwujudkan di dalam diri murid-murid demi perkembangan mental mereka yang baik dan positif.

Sehubungan itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor, Cikgu Rohaiza Abdul Rahim, mencipta tip untuk menjadi gembira dengan lima kaedah mudah yang boleh dicuba oleh ibu bapa, guru atau murid-murid di luar sana.

Jom bersama-sama ketahui rahsia untuk menjadi gembira melalui konsep H-A-P-P-Y.

Gambar hiasan daripada Unsplash

1) H-Hargai peluang yang ada

Setiap antara kita mempunyai peluang yang tersendiri. Peluang ini merupakan satu ruang untuk kita melakukan sesuatu dengan sebaiknya. Apabila peluang telah diberikan kepada kita, sebagai contoh peluang untuk menjadi pemenang sesuatu pertandingan, kita seharusnya melakukannya dengan penuh rasa gembira dan seronok. Apabila emosi kita dalam keadaan yang gembira dan positif, sudah pastinya peluang yang kita ambil itu menjadi mudah untuk kita lakukan.

2) A-Ambil tahu /caring

Untuk kita merasai nikmat happy atau gembira, kita perlu mengambil tahu keadaan di sekeliling kita terutamanya keadaan keluarga kita. Apabila kita ambil tahu tentang mereka, ia akan membuatkan diri ahli keluarga kita gembira. Perasaan gembira itu akan menyelubungi seluruh ahli keluarga dek kerana aura positif itu. Secara tidak langsung, emosi positif dan gembira telah dicaskan kepada semua orang yang berada di sekeliling kita.

Gambar hiasan daripada Pexels

3) P-Peluang

Peluang yang dimiliki oleh setiap orang adalah berbeza. Justeru itu, apabila peluang muncul di hadapan kita, kita perlu merasai keseronokan untuk mencipta sesuatu yang menggembirakan hasil daripada peluang itu. Sesungguhnya, peluang yang diberikan sangatlah berharga dan kita perlu melakukan dengan sebaiknya.

4) P-Penghargaan Kendiri

Penghargaan kendiri adalah hadiah yang boleh diberikan kepada diri sendiri. Sebagai contoh, apabila murid-murid telah selesai melakukan sesuatu tugasan kerja sekolah, murid boleh menghadiahkan diri dengan sesuatu yang bermakna. Hadiah tersebut tidak perlu mahal atau besar. Cukuplah dengan belanja diri makan aiskrim atau menonton rancangan kegemaran. Apabila tugasan telah disiapkan, murid berasa tenang dan gembira.

Gambar hiasan daripada Pexels

5)Y-Yakin dengan hikmah sesuatu perkara

Setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Hikmah tersebut adalah maksud di sebalik sesuatu perkara yang terjadi. Oleh itu, kita perlu reda dan terima dengan hati yang terbuka. Apabila kita dapat menerima dengan ketentuannya, secara tidak langsung kita akan rasa tenang. Keseronokan yang dialami itulah ketenangan yang ada dalam diri.

Oleh itu, bukan susah untuk jadi gembira. Lima tip mudah ini, boleh membantu anda menjadi gembira dengan setiap perkara yang anda lakukan. Apa yang penting, kita perlu mencuba sesuatu perkara dengan rasa gembira serta tidak berputus asa. Kejayaan pasti menjadi milik kita. Selamat mencuba.

Artikel menarik

Kakak tidak pernah makan chicken chop, saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu? Mulianya hati murid ini

Program SUPER tingkat fokus pelajar sekolah secara maya