Institusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amatlah tidak asing dengan dunia pendidikan negara khususnya sekolah.

Sejarah awal penubuhan PIBG ini bermula pada tahun 1971 dimana penubuhannya disempurnakan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu.

Bermula dari situlah PIBG kemudiannya diwujudkan di setiap sekolah sama ada di bandar mahupun desa, lama mahupun baru, rendah mahupun menengah dan sekolah asrama dan juga sekolah harian.

Hakikatnya, PIBG berperanan untuk membantu dan menyokong pihak sekolah dalam membangun dan memajukan pelbagai aspek baik dari segi kurikulum, ko-kurikulum, kemudahan, pembangunan fizikal, sahsiah pelajar dan sebagainya.

Di samping itu, penubuhan PIBG bermatlamatkan untuk membina pemuafakatan yang padu lagi kukuh antara ibu bapa, komuniti, guru dan sekolah.

Kepesatan kemajuan negara telah memberikan impak yang begitu besar terhadap perkembangan bidang pendidikan negara.

Sektor pendidikan kini menjadi antara bidang utama yang dititikberatkan bukan sahaja oleh pihak kerajaan bahkan ibu bapa, masyarakat dan pelbagai pihak.

Oleh hal yang demikian, peranan dan tanggungjawab PIBG juga semakin penting dan mencabar dalam dunia pendidikan semasa.

PIBG pada hari ini tidak boleh lagi disamakan fungsinya sebagaimana PIBG sekitar tahun 70-an, 80-an dan juga 90-an.

Sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025), peranan PIBG perlu diperluaskan dengan penglibatan menyeluruh daripada ibu bapa, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan termasuk juga pihak swasta menerusi kewujudan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPPIBKS) sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Penyampaian Watikan Perlantikan sebagai Ahli KPPIKBS di peringkat Daerah Hulu Langat yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Arbain Pinin.

Justeru, beberapa langkah dikenalpasti bagi memperkasakan PIBG di sekolah melalui penglibatan efektif KPPIBKS yang boleh disarankan.

1) Usaha mencari dan mengenalpasti ibu bapa atau ahli komuniti, NGO dan pihak swasta yang berminat dan komited untuk terlibat dalam membangunkan kemenjadian pelajar serta memperkukuhkan potensi guru serta pembangunan sekolah sama ada yang bersifat fizikal mahupun daripada segi daya intelek, spiritual, emosi dan sahsiah. Sebagai contoh, ibu bapa atau ahli komuniti yang mempunyai kepakaran dalam sukan bola sepak yang sedia menjadi ‘pembantu’ jurulatih kepada guru yang telah dilantik sebagai jurulatih melalui PIBG.

2) Membangunkan Pelan Tindakan Strategi PIBG-KPPIBKS yang komprehensif dengan menggariskan beberapa asakan tindakan yang perlu dilakukan pihak PIBG bersama KPPIBKS dalam konteks menjadi badan sokongan kepada pihak sekolah. Pelan tindakan ini merangkumi pelbagai aspek melibatkan akademik, sukan, kegiatan pelajar, perhubungan, kebudayaan, kebajikan, kerjaya, motivasi, pembangunan fizikal dan sebagainya. Keanggotaan KPPIBKS ini akan diagihkan mengikut bidang kesesuaian tersebut.   

3) Memperteguhkan sumber dana PIBG dengan sokongan KPPIBKS yang terdiri daripada ibu bapa, komuniti setempat, NGO di samping pihak swasta yang boleh dijadikan sebagai rakan strategik. Sumbangan ini boleh dijana secara langsung dalam bentuk tunai, baucar atau barangan selain sumbangan secara tidak langsung termasuklah menjalankan program-program seperti Hari Kantin, Karnival Hari Guru, jualan sempena Hari Kanak-Kanak atau ‘Projek Khas’ bersama pihak PIBG seperti Projek Kebun Sekolah, Produk Inovatif Sekolah, Jualan Produk Kraftangan Ibu Bapa dan seumpamanya.

4) Mewujudkan jawatankuasa atau panel khas yang bebas bagi memantau sebarang projek pembinaan, pembekalan atau perolehan dana oleh pihak PIBG. Jawatankuasa ini boleh dianggotai dalam kalangan ahli KPPIBKS. Usaha ini bertujuan supaya sesuatu projek pembinaan, pembekalan dan perolehan dana dilaksanakan dengan penuh berkesan, berintegriti dan telus serta bebas dari sebarang penyalahgunaan kuasa.

5) Penglibatan secara bersama pihak PIBG dan KPPIBKS dalam setiap program yang dianjurkan atau disertai pihak sekolah. Sebagai contoh, sesebuah sekolah yang ingin menyertai Pertandingan 3K (Keceriaan, Keselamatan dan Kebersihan), pihak PIBG bersama KPIBKS akan menyokong dan turut berganding bahu bersama pihak sekolah dalam memastikan segala keperluan dan syarat pertandingan itu dipenuhi dan dilaksanakan sekali gus memangkin kejayaan kepada sekolah tersebut.

6) Pihak PIBG dan KPIBSK haruslah memiliki sikap terbuka, mudah berunding serta berupaya mewujudkan persefahaman bersama dengan pihak sekolah. Sekiranya terdapat sebarang salah faham, miss-communication atau pertikaian dengan pihak sekolah, PIBG akan segera mengadakan rundingan dan perbincangan bagi mewujudkan persefahaman bersama ketiga-tiga pihak. Sementara itu, pihak sekolah juga perlu memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada pihak PIBG untuk berunding supaya segala masalah yang timbul dapat segera diselesaikan di meja rundingan sekaligus mengelakkan situasi yang lebih buruk berlaku.

7) Yang Dipertua PIBG, AJK PIBG, ahli-ahli KPPIBKS serta para ibu bapa dan juga penjaga perlu benar-benar memahami makna fungsi dan peranan PIBG. PIBG bukanlah sebagai ‘pembangkang’ kepada pihak sekolah sebaliknya sebagai badan sokongan. Tidak dinafikan bahawa suara daripada ibu bapa, penjaga dan juga komuniti itu penting dan perlu disalurkan menerusi wadah PIBG ini, akan tetapi pendekatan penyampaian itu biarlah lebih bersifat penuh kesantunan tanpa meminggirkan kepentingan bersama para murid, ibu bapa, penjaga, guru, sekolah dan komuniti. Situasi ‘menang-menang’ amatlah diharapkan dalam hubungan Sekolah – PIBG – KPPIBKS ini.  

Penulis adalah Ketua YDP-YDP PIBG Daerah Hulu Langat  ke KPPIBKS Peringkat Negeri Selangor merangkap YDP PIBG di SK Bandar Tasik Kesuma

Artikel menarik

'Berapa orang murid lagi yang belum bayar bayaran khas sekolah, cikgu?'

Ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pentadbir, mohon jadikan panduan