Persediaan fizikal dan mental amat penting terutama bagi pelajar yang sedang menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam situasi ini, pelajar perlu memahami kaedah terbaik untuk mengawal diri daripada sebarang tekanan, di samping perlu terus kekal positif serta bermotivasi untuk menghadapi peperiksaan dengan sebaiknya.

Pegawai Kaunseling Kolej Matrikulasi Johor, Faziha Diana Razib berkongsi lima tip yang boleh menjadi panduan pelajar untuk terus kekal positif menghadapi peperiksaan.

 

1) Jangan hirau atau semak jawapan

Elakkan menyemak jawapan atau mencari kesalahan dalam peperiksaan yang telah lepas, ia akan mengganggu emosi dan fikiran anda kerana anda akan menyalahkan diri apabila mendapati jawapan yang anda jawab sebelum ini salah.

Sebaliknya fokus dengan kertas soalan yang akan kamu jawab keesokkannya. Simpan kertas soalan yang telah dijawab jauh dari pandangan mata supaya ia tidak menggangu anda menumpukan perhatian kepada kertas soalan lain. Ulangi proses ini sehingga tamat peperiksaan dan barulah membuat semakan jawapan soalan peperiksaan yang telah anda jawab.

 

2) Mengambil wuduk atau membasuh muka

Air merupakan cecair yang mampu menurunkan suhu dan mempunyai oksigen. Apabila kita menghadapi tekanan, suhu dalam badan kita akan tinggi disebabkan stres yang dialami. Dengan mengambil wuduk dan membasuh muka, kita dapat menurunkan suhu badan kita pada paras normal sekali gus akan lebih segar untuk terus kekal fokus dan positif.

 

3) Teknik pernafasan

Lakukan teknik pernafasan sebelum memulakan sesuatu ulangkaji. Ambil masa selama lima minit untuk melakukan teknik pernafasan ini. Teknik pernafasan bukan sahaja dapat membantu menstabilkan degupan jantung, malah dapat membekalkan oksigen yang cukup ke otak kita. Barulah kita boleh berfikir secara positif. Lakukan teknik ini:

1) Pejamkan mata

2) Tarik nafas perlahan-lahan.

3) Hembuskan nafas perlahan dalam tempoh 10 saat

4) Ulangi langkah-langkah tersebut sehingga anda merasa tenang dan relaks

 

4) Bina suasana terapeutik

Terapeutik bermaksud sesuatu yang menenangkan dan selesa. Bina tempat atau ruangan terapeutik untuk diri. Jika bauan dan haruman dapat membantu diri anda tenang dan positif, bakar wangian lilin di bilik bacaan semasa membuat ulangkaji.

Letakkan sedikit warna hijau pada ruangan bacaan seperti tumbuhan hijau. Warna hijau mampu membantu minda kita relaks dan stabil.

 

5) Berkongsi perasaan

Berkongsi perasaan yang mengganggu emosi dengan teman dan rakan yang rapat. Kongsi perasaan yang menyebabkan kita tidak selesa dengan diri. Luahkan pada teman rapat, kadangkala kita hanya mahu didengari tetapi tidak menyedari kehendak diri kita. Berkongsi apa yang anda rasai bersama ibu bapa, adik beradik ataupun kawan baik.

 

Semoga tip yang dikongsikan ini dapat dimanfaatkan buat semua pelajar khususnya calon-calon SPM. Semoga anda semua dapat menjawab semua soalan dengan sempurna dan meraih kecemerlangan yang membanggakan.