Tip jadi pengusaha tadika berjaya daripada Cikgu Leeanne:

1. Hadkan kanak-kanak kepada 60 orang sahaja.

3. Guna khidmat lapan orang guru yang bersedia beri komitmen penuh.

4. Mengajar sendiri kanak-kanak untuk mengetahui masalah sebenar yang dialami.

5. Jangan teragak-agak untuk pecat pekerja yang tidak menepati sasaran kerja.

6. Sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.

7. Buka tadika kepada semua kaum.



Kerjayanya bermula sebagai guru tuisyen pada 2003, hanya beroperasi di rumah dengan lima murid sahaja ketika itu.

Beliau mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana minat ingin berbakti kepada masyarakat.

Namun, hasil promosi 'mulut ke mulut', daripada hanya lima murid, jumlahnya semakin bertambah dari masa ke masa.

Minatnya dalam dunia pendidikan, mendorong Chua Teng Eng, 53, atau mesra dengan panggilan Leeanne meneruskan khidmat sebagai guru di sebuah tadika swasta selama enam tahun.

Bagaimanapun pada 2008, dia nekad membuka tadika miliknya sendiri yang diberi nama Tadika Fajar Didik di Taman Jaya, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Selain tadika, pusat itu juga menyediakan perkhidmatan taska dan transit selepas sesi persekolahan untuk ibu bapa bekerja.

Walaupun dia pemilik tadika tersebut, Leeanne mengambil pendekatan lebih suka mengajar sendiri anak muridnya berbanding pengusaha tadika swasta yang lain, kerana ingin berkongsi ilmu dan cuba sedaya upaya membantu anak didiknya berjaya.

Beliau yang dilahirkan dan membesar di Kampung Tiruk, Kuala Terengganu ialah seorang Cina Peranakan, jadi tidak hairanlah budaya Melayu Terengganu lebih dekat dengan dirinya.

“Ini kerjaya saya dan saya meletakkan komitmen yang tinggi untuk mencapai sasaran ditetapkan. Malah, setiap kali sesi pengambilan.. saya akan pastikan tidak lebih 60 orang.

“Ini sebab, saya mahu menjaga kualiti dan supaya lebih fokus. Saya lebih suka jika sentiasa ada komunikasi dengan keluarga kanak-kanak supaya semua masalah dapat diselesaikan segera,” katanya.

Bersama sebahagian tenaga pengajar di Tadika Fajar Didik.

Mahu lihat kanak-kanak berjaya semua bidang

Menurutnya, semua kanak-kanak adalah sama, tidak kira Melayu, Cina atau India dan impiannya hanya ingin melihat mereka maju jaya dalam semua bidang.

Beliau berpendapat, ketika didikan awal inilah, mereka perlu diberikan lebih perhatian supaya ketika mereka memulakan sesi persekolahan di sekolah rendah, tiada masalah yang timbul.

“Jika ada dalam kalangan kanak-kanak yang menghadapi masalah, saya rasa susah hati,” katanya.

Seorang anaknya, Chew Sau Chiat, 27, turut mengajar di tadika tersebut, malah menantunya, Audrey Chua Bee Heong, 30, juga guru di Tadika Fajar Didik.

Selain, itu, dia juga mempunyai lapan lagi pembantu dan akan memastikan semua guru di tadika berkenaan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya.

“Jika ada yang tidak memenuhi sasaran dan budaya kerja di sini, saya tidak teragak-agak untuk tamatkan perkhidmatan mereka," katanya.

Bersama sebahagian kanak-kanak di tadikanya.
 

Ramai kawan Melayu

Nenek kepada empat cucu ini berkata, dia suka memakai baju kurung atau kurung moden jika menghadiri majlis formal, jadi tidak hairan jumlah baju kurungnya sama banyak dengan
pakaian moden yang lain.

Malah, beliau mengakui masyarakat Melayu lebih ramai mengenalinya berbanding masyarakat Tionghoa.

“Saya tak rasa kekok, malah tak pernah timbul perasaan sebegitu. Saya ada ramai kawan Melayu dan tidak mengalami masalah menyesuaikan diri dengan corak budaya Melayu. Ikan singgang, budu, belacan adalah hidangan rutin tengah hari.

“Saya juga suka berbaju kurung Kedah dan berkain batik sebab ia adalah pakaian di kampung. Walaupun kini tinggal di kawasan bandar Kuala Terengganu kerana komitmen kerja, sesekali rindu dengan suasana kampung dan ingin makan buah-buahan di kebun, saya akan pulang ke kampung (Kampung Tiruk),” kata anak sulung lima beradik ini.

Menurutnya, walaupun ibu bapanya sudah tiada tetapi masih ada saudara mara yang tinggal di sana, manakala rumah keluarga dijaga oleh seorang adik lelakinya.