Ramadan sudah masuk minggu kedua dan sudah semestinya ibu bapa di luar sana terbiasa dengan rutin di bulan puasa ini termasuklah melatih dan mendidik anak untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak bagi menghidupkan bulan Ramadan seperti yang dikongsikan Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Kolej Profesional MARA, Bandar Melaka, Abdullah Long yang juga Ketua Unit Hal Ehwal Ugama Islam dan Dakwah (UHUD) di kolej berkenaan.
    
Di sini, GPS Bestari kongsikan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak di bulan puasa ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga.

*****
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”.
[Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]


Maksud daripada hadis ini menuntut agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan bulan Ramadan. Ini kerana, ganjarannya amat besar bagi orang yang menghidupkan dan membangunkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Di sini dikongsikan tip kepada ibu bapa bagaimana untuk mendidik anak-anak bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan program harian yang sesuai dilakukan di bulan yang mulia ini.



Ia juga juga boleh menjadi tips untuk mengeratkan lagi ukhwah dalam kalangan ahli keluarga. Semoga ia bermanfaat buat semua.

1)     Bangun sahur dan puasa bersama
Di bulan Ramadan, sepanjang hari itu boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ia bermula dengan cara kita bersahur dan berbuka berpuasa. Antara adab yang baik dalam berpuasa ialah melewat-lewatkan sahur dan segera berbuka sebaik masuknya waktu dan ikut sunnah ketika berbuka. Ketika berbuka puasa bersama, ibu bapa boleh membuat sedikit pengisian dengan tazkirah ringkas, zikir, tahlil dan bercerita kisah teladan sambil menunggu waktu berbuka.

2)        Solat fardhu berjemaah
Alangkah indahnya jika selepas berbuka, ahi keluarga dapat menunaikan solat maghrib secara berjemaah dan diimamkan sendiri oleh bapa merangkap ketua keluarga. Bagi yang berkemampuan, sebaiknya untuk ahli keluarga lelaki menunaikannya di masjid.

3)        Tadarus al-Quran bersama keluarga
Letak sasaran untuk khatam al-Quran bersama ahli keluarga. Jika ada kemampuan, boleh teruskan dengan tadabbur ayat. Boleh pilih ayat-ayat yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan sebagai pengisian tadabbur. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menghidupkan majlis tadarus ini.



4)         Aktiviti gotong-royong menyediakan juadah
Tidak terhad kepada ahli keluarga perempuan sahaja untuk menyediakan juadah berbuka. Sebagai contohnya, semua ahli keluarga perlu bersama-sama menyediakan juadah, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur bagi menambahkan lagi keberkatan bulan Ramadan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menyebutkan bagi orang yang berpuasa, mereka akan memperoleh dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan bertemu dengan tuhannya.

5)        Didik anak bersedekah
Rasulullah SAW orang yang sangat pemurah berbuat kebajikan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Sebenarnya, konsep memberi ini harus diterapkan secara maksimum bukan hanya di bulan Ramadan tetapi juga di bulan-bulan yang lain. Namun begitu, bulan Ramadan ini boleh untuk kita berlumba-lumba melakukan kebajikan. Didik anak untuk bersedekah ke dalam tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua dan mereka yang berada dalam kesusahan. Jangan pula lupa untuk tunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat. Menjamu orang puasa untuk berbuka juga termasuk dalam aktiviti yang boleh dilakukan kerana sangat besar fadilat dan kelebihannya.

6)         Hidupkan setiap malam Ramadan
Bagi menghidupkan dan membangunkan bulan Ramadan untuk meraih pengampuan dari Allah, maka kita perlu mengimarahkan malam Ramadan dengan solat tarawih, tahajjud, witir dan lain-lain. Kalau keadaan pandemik ini kembali normal, kita boleh melakukan ibadah berkenaan di masjid atau surau. Dengan situasi yang berlaku sekarang, kita masih boleh menghidupkan Ramadan ini dengan amal ibadat dalam keadaan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Artikel menarik

Apa persediaan guru sekiranya PdPR kembali dilaksanakan? Ini perkongsian penting buat anda!

Cantik dan menenangkan, wajah baru perpustakaan SMK Air Tawar tarik perhatian warga maya