Semua sedia maklum, minggu depan akan bermulanya cuti sekolah selama seminggu. Jika di luar musim pandemik, sudah tentunya ramai ibu bapa dan anak-anak sudah merancang percutian dan pelbagai aktiviti menarik, sama ada di dalam atau luar negara.

Meskipun begitu, bilangan kes aktif Covid-19 yang masih mencecah angka 1,000 sedikit sebanyak memberikan kegusaran kepada ibu bapa untuk merancang percutian dengan anak-anak kerana bimbang berlakunya penularan virus berkenaan.

Sudah pastinya ramai yang tercari-cari apakah aktiviti yang boleh dimanfaatkan sepanjang cuti sekolah ini dan dalam masa yang sama masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya masa terluang itu dapat digunakan sebaik mungkin dengan perkara yang berfaedah.

Di sini kami cadangkan beberapa aktiviti cuti sekolah yang boleh dimanfaatkan oleh adik-adik sepanjang cuti sekolah ini.

1)  Melakukan ibadah solat berjemaah apabila berkesempatan bersama-sama ahli keluarga

Masa cuti sebeginilah adik-adik sepatutnya ambil peluang meningkatkan pengisian rohani dan kemahiran insani sebagai bekalan serta persediaan menuju alam dewasa supaya menjadi individu yang mempunyai asas agama yang kukuh.

2) Menolong ibu bapa di rumah

Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh membantu ibu bapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibu bapa. SOP juga tetap dipatuhi kerana tidak membabitkan sentuhan dengan orang luar.

3) Melancong dalam negeri

Memandangkan sekatan rentas negeri masih dilaksanakan, aktiviti pergerakan untuk melancong terhad kepada dalam negeri sahaja. Lawatlah tempat-tempat menarik yang ada di negeri adik-adik dan sekiranya terdapat kekangan kos, mungkin adik-adik boleh cuba aktiviti berkelah bersama keluarga di tepi pantai atau taman rekreasi. Malaysia ada banyak taman rekreasi yang menarik pada hari ini tetapi pastikan SOP dipatuhi.

4) Belajar memasak

Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermulalah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?

5) Berkebun

Berkebun memang menyeronokkan malah ia menjadi trend dalam kalangan masyarakat pada hari ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.

6) Bersukan atau bermain bersama keluarga

Ajak ahli keluarga bersukan seperti bermain badminton, joging atau bermain pelbagai permainan tradisional seperti congkak atau batu seremban supaya dapat lari daripada rutin biasa iaitu bermain permainan video menggunakan konsol permainan video seperti PS4/PS5 atau telefon pintar.

7) Baca novel / buku ilmiah

Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilihlah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna. Jika ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, ajaklah ibu bapa ke sana dan tanamkan tabiat suka membaca dalam diri masing-masing.

8) Kemahiran bertukang

Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.

9) Menonton bersama keluarga

Kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini membolehkan adik-adik untuk menonton pelbagai jenis program bersama keluarga sama ada program keagamaan, pendidikan, muzik, kebudayaan, hidupan liar, hiburan, muzik, drama, anime dan banyak lagi. cuma dalam keseronokan menonton, jangan lupa ambil nilai positif daripada setiap program yang ditonton supaya adik-adik dapat aplikasi nilai murni itu dalam kehidupan seharian.

10) Belajar mengenai komunikasi dan teknologi maklumat (ICT)

Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan mereka mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Memandangkan cuti persekolahan pada kali ini masih dalam tempoh pandemik, GPS Bestari ingin mengingatkan sekali lagi supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan supaya penularan virus Covid-19 dapat dielakkan.

Sumber: cikguhailmi.com, tengkuasmadi.com dan www.sabah.org.my

Artikel menarik

Guna sepanduk nama untuk mudahkan penyuraian murid, setuju atau tidak?

Siapa sangka, karya pelajar Malaysia mampu diterbitkan dalam majalah di luar negara