Riwayat Bukhari Muslim pernah menyatakan bahawa

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya kepimpinannya”.

Justeru, memimpin diri sendiri dengan cemerlang adalah perkara penting sebelum memimpin orang lain.

Individu yang cemerlang mampu menguasai dirinya sendiri supaya bertindak ke arah kecemerlangan biarpun berada pada saat akhir menjelang peperiksaan.

Kita yang menentukan masa depan diri kita bukannya orang lain kerana diri kita adalah modal kejayaan kita.

Pepatah ada menyatakan bahawa hendak seribu daya, mahu seribu cara.

Oleh itu, pelajar yang cemerlang akan melakukan perkara-perkara yang dapat menyumbang kepada pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

1) Berserah diri kepada Allah

Jiwa yang tenang dapat membantu anda menjelang peperiksaan. Biarpun anda telah melakukan pelbagai usaha dengan mengulang kaji pelajaran, menghadiri kelas tambahan, perbincangan kumpulan, menghadiri bengkel teknik menjawab dan 1001 usaha kesungguhan belajar, namun segala usaha yang dilakukan hanya membuahkan kejayaan jika dengan izin Allah.

Amalkan solat pada awal waktu kerana amalan ini akan membantu kita menjadi manusia yang berdisiplin dalam pengurusan masa. Malah solat pada awal merupakan tip terbaik hidup yang sentiasa tenang dan fikiran tidak tegang.

Selain itu, jadilah seorang hamba yang meminta - minta. Meminta Allah memakbulkan segala doa dan memberi ganjaran kejayaan atas segala usaha. Amalkan solat hajat dan bertahajud 1/3 malam. Ini rahsia kejayaan orang cemerlang.

 

2) Elakkan tidur lewat dan bangun pada awal pagi

Berada seharian di sekolah dan kemudian berterusan mengulang kaji pada waktu malam menjadikan badan kita letih dan kurang produktif mengingati sesuatu fakta.

Oleh itu, amalkan tidur awal dan rehat secukupnya. Tidur yang cukup menjadikan badan lebih bertenaga dan mampu meningkatkan daya fungsi otak. Kurang tidur menyebabkan rasa letih, kurang fokus dan tidak mampu berfikir dengan baik

Rehat yang cukup dengan tidur awal membolehkan kita bangun awal pagi. Memulakan rutin harian seawal yang mungkin menyebabkan  lebih banyak aktiviti berkualiti dapat dilaksanakan dan mampu ‘mencipta’ lebih banyak masa.

Kajian juga menunjukkan bahawa belajar awal pagi meningkatkan daya ingatan otak, otak lebih mudah bertindak balas dan meningkatkan daya konsentrasi.

Ajaran Islam sangat mementingkan bangun pada awal pagi  sebagaimana hadis Nabi Muhamad SAW menyebut “berkatilah umatku yang berpagi-pagi, berpagi-pagi (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah kejayaan”.  

Malah tokoh-tokoh ternama mengamalkan rutin harian seawal pagi kerana memulakan aktiviti harian seawal mungkin dengan sesuatu yang positif mempengaruhi emosi dan produktiviti.

Oleh itu, awal pagi merupakan waktu yang sesuai untuk belajar setelah mendapat rehat yang cukup dan badan lebih bertenaga. Suasana juga sunyi sepi tanpa gangguan.

 

3) Sentiasa positif dan jangan menyerah sebelum berjuang

Peperiksaan umpama medan perjuangan kerana keputusan peperiksaan khususnya SPM dan STPM penentu hala tuju masa depan. Jadi jangan menyerah sebelum berjuang.

Setiap kali bangun pagi, tarik nafas sedalam mungkin dan katakan pada diri bahawa “AKU MESTI SCORE! AKU MESTI DAPAT...”. Minda akan menguasai diri untuk bertindak ke arah yang lebih positif. Sentiasa juga buat bayangan minda bahawa anda dapat menjawab dengan tenang semua soalan yang ditanya, mendapat keputusan yang cemerlang mengikut sasaran anda dan paling manis dipeluk oleh mak ayah di atas pentas.

Tentu bayangan yang indah bukan? Visualisasi seperti ini dapat membantu anda supaya berusaha lebih gigih dan tingkatkan persediaan.

 

4) Amalkan bersenam dan sentiasa menjaga kesihatan

Jangan belajar berterusan. Perkara yang paling dibimbangi ialah jatuh sakit menjelang peperiksaan.

Biarpun sekadar diserang selesema misalnya, namun tetap mengganggu konsentrasi belajar. Oleh itu, buatlah senaman regangan dan amalkan bersenam setiap hari sekurang-kurangnya 20 minit.

Namun, perlu diingatkan bahawa jika anda sebelum ini bukanlah pengamal  senaman tegar dan tiba-tiba setiap petang anda berjogging 1 kilometer atau mendaki bukit, rutin sebegini dibimbangi akan menyebabkan badan anda terkejut. Anda juga terdedah kepada kecederaan otot  dan amalan aktiviti sebegini bukanlah sesuatu yang baik untuk kesihatan.

Buatlah secara berfasa dan mengikut kemampuan asalnya dapat  mengeluarkan peluh dan mampu mengurangkan stress.

 

5) Jaga pemakanan

Gabungan amalan bersenam dan pemakanan sihat membolehkan otak berkembang dengan lebih baik, seterusnya dapat memberi fokus kepada proses pembelajaran. Makanlah makanan seimbang mengikut piramid makanan.

Banyakkan makanan yang memberi tenaga kepada minda seperti kurma, madu, susu, daging putih sebagai sumber protein dan roti pembekal karbohidrat. Makan dalam kuantiti yang sepatutnya kerana makan berlebihan boleh memudaratkan kesihatan di samping badan menjadi letih dan cepat mengantuk.

Elakkan makanan ringan dan makanan segera yang tentunya mengandungi kandungan MSG dan gula yang tinggi. Banyak kajian menunjukkan bahawa makanan ini tidak baik untuk perkembangan otak.

 

6) Mengurus masa dengan cemerlang

Rancang masa 24 jam anda. Biarpun berada dalam tekanan peperiksaan, namun elakkan kecenderungan berehat dengan menonton TV, bersembang di facebook atau bermain permainan video kerana dikhuatiri  melebihi peruntukan masa yang ditetapkan. Sebaik-baiknya jadikan aktiviti membaca Al-Quran sebagai aktiviti pada waktu rehat. Jiwa pasti menjadi lebih tenang.

Tetapkan jadual belajar yang optimum dan isi masa rehat dengan perkara berfaedah seperti mencuci pakaian, menggosok baju, tidur, bersenam atau pelbagai aktiviti pengurusan diri. Ini penting supaya 24 jam anda lebih terisi dan mendapat rehat yang cukup.  

Tepati waktu yang dirancang dalam jadual.

 

7) Perbincangan berkumpulan

Belajar secara berkumpulan dapat merangsang pemikiran lebih proaktif. 

Bersoal jawab, perbincangan soalan terdahulu, teknik mengingat dan berkongsi nota mampu mempercepatkan proses mengulang kaji berbanding belajar berseorangan. Rakan kumpulan juga dapat membetulkan fakta dan memberi penerangan lebih jelas dalam aspek yang kita kurang faham.

Perkongsian ilmu contohnya bertukar set kertas soalan banyak membantu menambahkan lagi ilmu. Bukankah “Sharing is caring?”.

 

8) Fokus, bersungguh-sungguh dan istiqamah

Belajar mendidik disiplin diri. Oleh itu, perlulah memberi fokus yang tinggi, bersungguh-sungguh dan istiqamah dengan jadual pembelajaran yang dibuat. Ini kerana  proses belajar memerlukan konsentrasi yang tinggi. Korbankan seketika keseronokan kerana bukankah Allah menjanjikan kesenangan di sebalik kesulitan?

Tampal matlamat belajar anda supaya dapat dilihat setiap hari. Katakan pada diri bahawa anda mampu mencapainya dan sedang bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.

Buatlah matlamat kecil yang menjurus kepada tindakan setiap hari seperti saya akan habiskan tiga set soalan sejarah hari ini, saya akan mengingat gambar rajah sains atau saya akan menghafal ayat hafazan. Teknik ini akan mendorong anda membuat tindakan yang lebih spesifik dan konsisten belajar.

 

9) Menjauhi maksiat

Janganlah kita melakukan perkara larangan Allah.

Antaranya bergaul bebas lelaki dan perempuan, menjadikan alasan belajar untuk ‘dating’, bergayut, menonton video lucah, berpimpin tangan atau belajar berdua-duaan. Kita berdoa meminta Allah memberi rahmat supaya mudah belajar dan beroleh kejayaan, sebaliknya kita sendiri menjerumuskan diri dalam kemaksiatan.

Bagaimana Allah ingin memakbulkan doa kita? Oleh itu belajar juga merupakan proses mendekatkan diri dengan Tuhan supaya dipermudahkan semua urusan.

 

10) Lakukan sepenuh hati dan jangan sambil lewa

Ingin berjaya? Tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan. Segala-galanya perlu usaha. Semua perkara yang dinyatakan perlu dilaksanakan sepenuh hati, jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Jika terasa ingin putus asa, lihatlah wajah mak ayah yang telah berkorban masa tenaga dan wang ringgit untuk memberi kesenangan kepada anda. Hadiahkan mereka kejayaan hebat yang dapat membanggakan mereka.  Kita telah berjanji untuk menjadi anak yang baik. Maka buktikanlah!

Kesusahan hari ini pasti membuahkan kemanisan pada masa hadapan.

Jika anda berusaha dengan hebat maka hebatlah hasilnya

Jika anda sekadar ala kadar maka ala kadarlah juga hasilnya.

Norbi Husin, seorang penulis dan pendidik pernah berkata bahawa, “Satu perjalanan yang jauh dan lama seharusnya menempuh pelbagai rintangan dan dugaan. Untuk sampai ke garisan penamat, kita harus kuat dan tabah menghadapinya”.

Mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan  tidaklah terjadi laksana yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang tetapi menuntut pengorbanan, kejujuran, kesetiaan kepada diri dan komitmen yang tidak  berbelah bagi.

Kita perlu kuat menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang. Kitalah yang menentukan siapa kita sepuluh tahun akan datang dan dalam golongan mana kita berada, bukannya orang lain.

Semoga bertemu di puncak jaya!

*****Terima kasih Guru Cemerlang, SMK Sultanah Bahiyah, Dr Zuridah Hanim Md Akhir atas perkongsian ini.

Artikel menarik

Cikgu ternganga tengok lukisan pelajar Tingkatan Empat. Siap terkejut dan hampir pengsan!

Tiada ilmu pertukangan, guru wanita dan suami ubah suai rumah, terus nampak mewah dan elegan!